Dr Samsuri Terima Anugerah Gelaran Dato’ Seri

1712

KUALA TERENGGANU – Naib Presiden PAS, Dr. Samsuri Mokhtar kini bergelar ‘Dato’ Seri’ apabila Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, telah mengurniakan darjah kebesaran negeri kepadanya dan 51 penerima lain.

Istiadat Penganugerahan Gelaran dan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu 2019 itu disempurnakan di Balai Rong Seri, Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, pada semalam 22 Julai.

Penganugerahan bintang kebesaran itu didahului oleh Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Dato’ Seri Nadhirah Zahrah Al Wathique Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, dengan gelaran YAM Tengku Puteri Utama Raja.

Kedua, diikuti oleh Tengku Dato’ Seri Muhammad Mua’az Al Wathique Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, yang memakai gelaran YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Ketiga, Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra’ Al Wathique Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, dengan gelaran YAM Tengku Puteri Daulath Raja.

Dua orang lagi Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Tengku Farok Hussin yang bergelar Yang Mulia Tengku Sri Bijaya Raja dan Setiausaha Kerajan (SUK) negeri, Dato’ A Rahman Yahya, yang menerima gelaran Dato’ Bentara Dalam.
Manakala, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula menerima anugerah bintang Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.S.M.Z), yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Dato’ A Rahman berkata, seramai 48 orang telah menerima bintang-bintang (darjah) kebesaran negeri dan empat orang menerima darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.S.M.Z).

“Dato’ Paduka Mahkota Terengganu, D.P.M.T seramai 10 orang. Seri Sultan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z) 10 orang. Setia Mahkota Terengganu (S.M.T) enam orang. Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z) tujuh orang dan Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) 12 orang.

“Tahniah juga kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menerima anugerah bintang Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.S.M.Z), yang membawa gelaran Dato’ Seri dan isterinya Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat SUK Tingkat 15, Wisma Darul Iman, selepas selesai majlis Istiadat Penganugerahan Gelaran dan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu 2019 di Chendering, Kuala Terengganu.

Mantan Timbalan Pesuruhyaya PAS Terengganu Haji Yahaya Ali yang juga ‘Speaker’ DUN Terengganu, kini turut bergelar Dato’ Seri

Seramai sembilan orang pula menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Dato’, mengetuai penerima gelaran ialah Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Yahaya Ali, Pegawai Kewangan negeri, Mohd Zahari Md. Azahar serta Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Zainal Abidin Hussin.

Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z.), turut dianugerahkan kepada 10 orang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahari Mamat, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Ustaz Mat Azmi Arshad, Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Ahmad Azmi Md Salleh, Pegawai Daerah Kemaman, Osman A Bakar, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh.

Sementara itu, Darjah Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) pula dianugerahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta dua penerima lain.

Selain itu, seramai tujuh orang menerima Darjah Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z.) pula diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim serta 12 orang menerima Darjah Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T.).