Dr Samsuri Rai Anak Yatim Menjelang Aidilfitri

1025

MARANG – Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meraikan anak-anak yatim, beberapa hari menjelang hari lebaran dalam dalam satu program dianjurkan Sahabat Care dan Pemuda PAS.

Beliau menyantuni anak-anak terpilih itu membeli keperluan hari raya, di sebuah premis perniagaan di bandar, dekat sini.

“Kegembiraan anak-anak ini adalah kegembiraan kita bersama, mak ayah dan juga kegembiraan pentadbiran kerajaan,

“kerana anak-anak adalah generasi yang penting, yang akan meneruskan kesinambungan orang-orang yang sudah berusia,

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Sahabat Care dan Pemuda PAS Rhu Rendang yang mengadakan Program Sinar Aidilfitri pada hari ini,” ujarnya

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rhu Rendang berkata, seramai 50 orang anak-anak yatim dan anak-anak miskin yang terlibat, yang menerima sumbangan mereka.

Sehubungan itu beliau berkata, aktiviti yang yang dibuat pada Isnin 11 Jun itu, adalah contoh yang sangat baik yang boleh dikongsi semua pihak.

Katanya, pihak-pihak yang prihatin samada orang-orang korporat, perseorangan yang ada rezeki lebih boleh turut sama membantu.

“Sekaligus kita berkongsi kegembiraan dengan memberikan sumbangan dalam menyambut hari raya Aidilfitri, ” tambah beliau.

Dr Ahmad Samsuri menegaskan, sikap ambil peduli dan memberikan perhatian kepada anak-anak yatim dan orang-orang yang tidak berkemampuan adalah merupakan tugas yang besar di sisi Allah SWT.

“Tanggungjawab kita sebagai umat Islam sangat berat apatah lagi pada hari ini kita telah diberi amanah kepimpinan mentadbir negeri, untuk kita berikan penumpuan kepada anak yatim dan orang miskin di sekitar kita,

“Marilah sama-sama kita berganding bahu antara kerajaan, NGO, masyarakat dan semua pihak dalam membangunkan potensi anak-anak yatim dan orang-orang miskin di negeri Terengganu,” jelas beliau.

Justeru itu, beliau menyeru semua rakyat yang berkelapangan dan prihatin agar melakukan amalan bantu membantu.

“Marilah kita membantu anak-anak kita, anak-anak jiran kita, anak-anak saudara kita, ahli masyarakat, dapat menjalani kehidupan dengan baik dan dapat bergembira bersempena dengan Aidilfitri 2018 ini,

“Moga-moga pada tahun hadapan, pada hari raya Haji atau awal pembukaan sesi persekolahan akan datang, insyaAllah kita akan ramaikan lagi peserta untuk program seperti ini,” kata beliau