DPPHT, AMAL Bantu Tabung Darah HSNZ

279

Oleh : Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu (DPPHT) dan Jabatan Amal Malaysia Terengganu (AMAL) menyumbang darah untuk stok tabung Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang berkurangan berikutan gejala wabak COVID-19.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, usaha murni yang sedikit ini dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

“Jumlah penderma yang berdaftar secara atas talian adalah 60 orang, 12 penderma gagal dan kehadiran 25 orang secara ‘walk-in’ menjadikan jumlah keseluruhan penderma yang berjaya adalah 73 orang,” ujarnya.

Beliau yang juga Pemuda PAS Hulu Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Jom Derma Darah di Markaz Tarbiah PAS Kuala Berang, pada semalam.

Turut hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, YB Dr Mamad Puteh, ADUN Ajil, YB Maliaman Kassim dan Pengarah Jabatan Amal Malaysia Terengganu, Tuan Sauji Abd Rasid.

Justeru itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma yang terdiri daripada golongan remaja di Daerah Hulu Terengganu kerana sudi menderma walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, Pegawai Perhubungan Awam HSNZ, Suhaimi bin Yusof berkata, program ini mengikut standard operating procedure (SOP) berkenaan dengan COVID-19 melalui saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dan Pusat Darah Negara untuk menjalankan kempen derma darah.

“Keseluruhan program sangat berjaya. Ia bermula dengan Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang dan Hulu Terengganu merupakan Daerah keempat.

“Seterusnya kami akan ke Setiu pada 21-22 April di Besut,” tambah beliau yang juga Penyelia Tabung Darah Terengganu.