Doa Makbul

307

Doa almarhum Dato Fadzil Noor supaya Tun panjang umur untuk Tun lihat sendiri kerosakan yang dia buat, alhamdulillah maqbul. Sehingga sekarang Tun masih hidup dan menjadi PM tertua di dunia dan masih gagah berperang dengan timbalannya, sambil melihat hasil kerosakan sistem pemerintahan yang jauh dari Islam yang beliau buat dahulu.

Doa Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang minta supaya Najib dan Zahid jika ada ruang kebaikan, mereka dijadikan baik oleh Allah, alhamdulillah maqbul. Najib dan Zahid sekarang bersama dengan Umno, bermuafakat dengan PAS demi kepentingan agama dan bangsa. Pastinya muafakat ini untuk kebaikan.

Doa orang Islam yang tidak mahu Lim Guan Eng nak jadi macam Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, alhamdulillah maqbul, Sebab orang ramai tahu, dia hanya mahu jadi macam Khalifah Umar, tetapi bukan mahu masuk Islam. Dia nak guna nama Umar sahaja untuk pancing undi. Ramai orang melayu Islam tak percaya.

Doa Mat Sabu yang dia akan jadi gila jika tinggalkan PAS, alhamdulillah maqbul. Sehingga sekarang, bukan dia seorang sahaja yang gila, malah seluruh pimpinan Pan, turut menjadi gila terutama dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional.

Doa ahli PAS untuk ditunjukkan kebenaran atas fitnah kepada PAS, terutama isu 90 juta terimaan duit dari Umno, dimaqbulkan. Sehinggakan SPRM sendiri mengesahkan PAS, bersih daripada sebarang salah laku rasuah. Malah, kepada Umno sendiri, PH masih terkial-kial mencari apa yang mereka kata bukti kukuh salah laku itu. Saksi dan bukti pun entah ke mana.

Doa seluruh umat Islam di Malaysia yang mahukan Dr. Zakir Naik tidak dihalau keluar, alhamdulillah dimaqbulkan. Sehingga kini, rakan pengganas LTTE, kecewa dengan keputusan Tun untuk tidak melayan permintaan India untuk mengembalikan Dr. Zakir Naik kepada mereka.

Doa Sallehuddin Ayub kepada sesiapa cuba menjahanamkan PAS akan gagal kerana PAS ada penjaganya iaitu Allah, alhamdulillah maqbul. Dia sebut itu dalam Muktamar PAS sebagai amaran. Dan dia menjadi salah seorang yang gagal menjahanamkan PAS dari dalam dan sekarang dari luar.

Doa sangat panjang Dr. Azhar, perwakilan Wilayah dalam Muktamar PAS tahun 2014 di Batu Pahat supaya Allah keluarkan jebon-jebon yang berada dalam PAS dimaqbulkan Allah. Setahun selepas itu, mereka keluar PAS dan menubuhkan Pan, atas cadangan DAP. Warna oren pun DAP yang pilihkan.

Doa Presiden PAS untuk ditunjukkan Pan sememangnya khadam DAP alhamdulillah dimaqbulkan apabila dengan jelas mereka menuruti semua kehendak DAP. Mereka mengeluarkan segala kenyataan hanya jika menguntungkan DAP. Walaupun doa beliau untuk Pan bertahan hanya beberapa bulan tidak maqbul, tetapi dengan Allah memanjangkan lagi hayat Pan, maka rakyat boleh melihat dengan lebih jelas lagi perangai mereka. Alhamdulillah

Doa Presiden PAS untuk menyatukan umat atas nama Islam, alhamdulillah maqbul pada 14 September 2019. Beliau telah lama menyedarkan masyarakat bahawa PAS akan berkerjasama dengan sesiapa sahaja, jika boleh membawa kebaikan kepada Islam. Itu jelas pada setiap masa dan setiap keadaan.

Doa PAS suruh Umno K.O yang dibacakan oleh adik almarhum TGNA, Ustaz Nik Radzi, alhamdulillah maqbul. Bila Umno kalah, jadi mereka sedar bahawa, PAS adalah sebuah jemaah yang tidak suka berkelahi melampau-lampau kerana perbuatan itu ialah ciri-ciri munafik. Umno sedar, PAS juga ada kekuatan untuk menyatukan ummah. Hilang sombong Umno.

Doa Ketua Dewan Ulamak PAS, Dr Nik Zawawi agar PH bercakaran sesama sendiri alhamdulillah maqbul. Kita boleh lihat bagaimana mereka menyerang Tun semata-mata mahu menjadikan Anwar sebagai PM, sehinggakan diberi tekanan dengan menetapkan tarikh peralihan kuasa itu kepada Tun. Sampai sekarang duduk berkelahi lagi.

Doa Anwar, kroni-kroninya dan DAP nak jadikan Anwar PM8, alhamdulillah tak maqbul-maqbul lagi sampai sekarang, kerana terlalu ramai rakyat Malaysia yang mendoakan agar dia tidak akan naik selama-lamanya untuk menjadi PM. Ya Allah jangan dimaqbulkan doa Anwar nak jadi PM.

Dan hari ini, genap 11 tahun, doa dan rancangan Anwar untuk tukar kerajaan pada 16 September 2008 dengan rancangan membeli menteri-menteri kabinet BN juga tidak maqbul, malah langsung tidak dilayan. Alhamdulillah kerana waktu itu, PAS juga berada bersama Anwar. Takut jika menang, nama PAS jadi terpalit juga dalam lipatan sejarah sebab terlibat sama dalam membeli kuasa. Ketika itu PAS dihasut untuk gilakan Putrajaya dengan harapan palsu, rampas Putrajaya dulu, baru buat Islam. Sampai sekarang, tak buat-buat.

Mari kita doakan lagi, sempena hari Malaysia ini, semoga Muafakat Nasional ini berkekalan membawa kebaikan kepada Islam dan negara. Semoga negara kita tidak diperintah oleh golongan yang memusuhi Allah dan rasulnya. Semoga kita diselamatkan Allah dari api neraka yang bahan bakarnya ialah batu dan manusia. Amiin.

Saya definisikan doa dalam tulisan ini selain daripada doa yang biasa, termasuk juga ialah ayat-ayat harapan yang diletakkan dalam ucapan-ucapan.

Mohd Nasir Abdullah
16 September 2019