Disambar Petir, Rumah Nyaris Terbakar

1498

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Tindakan pantas seorang anak muda yang dengan berani merentap kain langsir yang sedang menyala menyelamatkan rumahnya dari hangus terbakar.

Kejadian malang itu berlaku di Kampung Baru Kertih di sini, pada pukul 08:25 malam tadi, sejurus selepas dentuman guruh serta kilat sambar-menyambar berlaku.

Jariah Husain, 50, seorang ibu tunggal berkata kejadian berlaku sekelip mata dan terlalu pantas, sebaik sahaja panahan kilat menyambar kotak fuis eletrik, api mula kelihatan menjilat kain langsir berhampiran.

“Anak lelaki, Mohd Norhisyam yang sedang menjamah makan malam, segera bertindak……nasib baik, dia tidak panik dan bertindak cepat.

“Kejadian ini membuat saya cukup terperanjat, kebetulan pula tidak berapa sihat dan berhajat ke hospital pada petang sebelum kejadian, namun berasa tidak sedap hati untuk meninggalkan rumah,” kata Jariah.

Beliau juga menceritakan, ketika kejadian tiga anaknya ada bersama iaitu Mohd Norhisyam Mohd Zani, 24, Nor Atiqah Zulaikha, 23 dan Ummi Najwa, 19 tahun.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Zon 4 Kg Baru Kertih, Saripuza Mamat bergegas ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan.

“Kita akan membantu keluarga ini sebaik mungkin, saya akan berbincang dengan wakil rakyat untuk mendapatkan peruntukan sewajarnya,” kata Saripuza lagi.