Diberi Betis Hendak Peha

423

Peribahasa “Diberi betis hendak paha” biasa diucapkan terhadap mereka yang melampau tidak puas hati terhadap kurniaan Allah dan pemberian sesama manusia. Sepatutnya bersyukur dan berterima kasih dengan pencapaian yang ada, nescaya ditambah lagi selepasnya kalau pandai menghargai apa yang telah dicapai, tetapi kalau menunjukkan keingkaran bersama takabburnya, maka azab Allah dan akibatnya sangat besar.

Inilah firman Allah:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ (7) [سورة إبراهيم: 7]

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. (Surah Ibrahim: 7)

Islam juga mengajar penganutnya supaya mengenali bahawa orang yang tidak berterima kasih terhadap sesama manusia, tidaklah bersyukur kepada Allah.

Kita menyaksikan adanya segelintir mereka yang menunjukkan perangai tersebut terhadap konsep masyarakat majmuk yang telah menyaksikan keharmonian selama ini, walaupun dipelihara hak beragama tanpa paksaan menganut Islam.

Termasuklah kepelbagaian bangsa dan bahasa adalah ketetapan Allah yang ditunjukkan oleh penganut Islam di negara ini. Bukannya mengada-adakan, tetapi Al-Quran yang menyebut wujudnya kepelbagaian bahasa, warna kulit dan lain-lain, firman Allah:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ (22) [ سورة الروم: 22]

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”. (Surah Ar-Ruum: 22)

Demikianlah bangsa Melayu yang beragama Islam ini boleh menerima kehadiran pelbagai kaum, agama dan bahasa, walaupun dibawa oleh penjajah bersama agendanya, tetapi dengan mudah semua parti politik yang terlibat pada masa perjuangan kemerdekaan berjaya menerima konsep asas ini dalam Perlembagaan Persekutuan dalam perkara agama, bangsa, dan bahasa. Namun jika ada rasa tidak puas hatinya dikawal dengan berakhlak.

Semua yang bukan Islam telah menerima Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, dan hak Melayu dan Bumiputera yang ketinggalan kerana penyusunan masyarakat yang diwujudkan oleh penjajah.

Umat Islam Melayu pula menerima dengan mudah hak bangsa dan agama lain, kerana sudah ada dalam ajaran agamanya, sehingga wujud keharmonian hubungan di antara kaum dan agama.

Perkara-perkara tersebut pernah dikacau oleh segelintir ekstremis kaum sehingga mencetuskan ketegangan peristiwa berdarah 13 Mei 1969. PAS paling menjadi sasaran, termasuk Tun Mahathir sendiri kerana semangat Melayunya ketika itu, sehingga beliau dikalahkan dalam PRU Kali Ke-3 oleh pengundi Cina di Kota Setar Selatan. Walaupun calon PAS, Haji Yusuf Rawa menang di kerusi tersebut, namun kaum Cina tidak mengundi Tun Mahathir, apatah lagi tidak mengundi PAS.

Walaupun PAS pernah menjadi mangsa ISA dan Tun Mahathir dipecat daripada Umno, tetapi perpaduan dapat diwujudkan juga selepas itu, kerana sifat Melayu yang beragama Islam mengajar akhlak penganutnya, sehingga dilupakan segala pergeseran dengan mudah.

Hari ini pula, walaupun Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan tetapi telah dihimpit sehingga tulisan Jawi yang asalnya dilumpuhkan sehingga bernyawa ikan yang nazak dan melumpuhkan kefahaman Melayu Islam terhadap agama mereka serta bahasa mereka sendiri.

Maka usaha untuk mengembalikan Bahasa Melayu sendiri adalah hak yang wajib dilakukan. Khususnya kita menyaksikan kebangkitan Jepun dengan bahasa dan tulisannya sendiri, begitu juga China, Korea dan kini Iran dengan Bahasa Parsi yang berhuruf Arab (Parsi seperti tulisan Jawi juga).

Usaha untuk mengembalikan penyebaran bahasa kebangsaan ini tidaklah mengharamkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, atau menghalang pembelajaran bahasa lain, seperti yang dilakukan di negara lain khususnya negara jiran.

Maka apakah yang hendak disifatkan atau dinamakan kepada kalangan yang cuba membantah atau menghalang, mahupun memperkecilkan usaha negara yang telah pun mengamalkan konsep masyarakat majmuk dalam kontrak sosial atau Perlembagaan, melainkan sifat pengkhianat yang melampaui batas manusia yang beradab. Bandingannya laksana diberi betis mahukan paha, atau perangai buaya yang ganas menangkap betis mahu menelan mangsanya sampai kepala.

Kita melihat tidaklah semua rakyat pelbagai bangsa ini boleh menerima pendekatan yang tidak bermoral dan mengenang budi ini, tetapi membiarkan nila setitik boleh merosakkan susu sebelanga. Maka kita tidaklah boleh menghukum segelintir yang cuba mengacau keharmonian yang telah berjaya dibina ini, melainkan dengan syarat semua pihak wajib menolak dan menentang kalangan makhluk perosak ini. Kalau dibiarkan terus berleluasa boleh menjadi api yang kecilnya menjadi kawan dan besarnya menjadi lawan yang sangat berbahaya membakar semuanya.

Adakah kita masih tidak peka dan sedar dengan mereka yang masih tidak kenyang dengan penguasaan ekonomi secara rakus sehingga majoriti rakyat Melayu dan Bumiputera menganggur, papa kedana, tekanan kos sara hidup, dan hidup menumpang mereka yang tidak mengenang budi itu.

Kita juga menghadapi permainan ekonomi yang sentiasa tidak adil dan bertimbang rasa, kerana konsepnya siapa yang cepat menipu dan paling mahal rasuahnya maka dia dapat. Tidak cukup dengan sedikit kejayaan permainan politik mereka, kini bersuara pula mahu menelan agama Islam yang berjasa kepadanya dan hendak pula membunuh bahasa kebangsaan yang menjadi jiwa bangsa ini dan menenggelamkan bangsa dengan teori “Malaysian Malaysia”.

Maka akhirnya bukan sekadar diberi betis hendak paha, bahkan naik ke atas kepala dan mahu menelan seluruh badan. Ketahuilah bahawa kesabaran itu ada batasnya. Apabila sabarnya tidak berbatas, maka hilang jati diri dan tidak menjadi manusia yang dimuliakan dengan akalnya.

Begitulah juga mereka yang diam membisu menyaksikan kemungkaran ini, laksana tikus berada dalam kepuk padi atau semut dalam gula, sehingga hilang ciri manusiawinya.

Adapun PAS kekal istiqamah dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diajar agama, dan diterima semua agama, di tengah pertembungan politik melampau dan terlampau dalam negara.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 13 Zulhijjah 1440 / 14 Ogos 2019