Di Sebalik Serangan Terhadap Menteri PAS

766

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Di sebalik serangan bertali arus pembangkang terhadap menteri dan timbalan menteri daripada Parti Islam Se-Malaysia(PAS) adalah perancangan musuh Islam untuk memadamkan cahaya Allah.

Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata Pakatan Harapan(PH) ingin melemahkan Islam itu sendiri dengan menimbulkan keraguan terhadap Islam, syariat dan hukum-hukum agama samawi itu.

“Mereka juga akan menimbulkan cercaan terhadap parti yang memperjuangkan Islam.

“Mereka berkehendak untuk memadamkan cahaya agama Allah. Tetapi Allah enggan melainkan akan menyempurnakan cahaya agama Nya, ” terangnya.

Ahli Parlimen Dungun itu berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum ke-15 Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang di sini pada 4 September.

Maka itu, katanya, Allah sentiasa mewujudkan kumpulan-kumpulan untuk membawa cahaya perjuangan Islam.

Sempena majlis itu diadakan gimik pelancaran penyerahan panji PAS kepada cawangan-cawangan dan sayap-sayap parti tersebut oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad yang turut melancarkan jentera pilihan raya DUN itu.

Majlis berakhir dengan bacaan ikrar dan doa wehdah yang diketuai oleh Ketua Pemuda DUN, Ustaz Abdullah Fahim Hussin.

Sebelum itu, Pengerusi Majlis Tindakan DUN Rantau Abang, Alias Harun mengajak semua ahli-ahli PAS untuk mengembeling tenaga, memperkuatkan jentera supaya berjaya mengekalkan DUN itu dan juga Negeri Terengganu bersama dengan PAS.

“Tujuan kita hendak memerintah adalah untuk memakmurkan bumi ini dengan Islam,” katanya.