Di mana Suara Tommy Thomas?

300

Terbaru, Peguam Negara duduk sekali dalam Forum di Universiti Malaya yang sepatutnya membincangkan secara ilmiah tentang Statut Rom, sebaliknya dilaporkan menjadi medan menghasut kebencian rakyat kepada Raja-Raja Melayu dan menghina empat pakar perundangan yang mendedahkan bahaya Statut Rom kepada Majlis Raja-Raja.

2. Dr Syed Husin Ali dalam forum tersebut telah mengucapkan kata-kata yang menghasut itu betul-betul di hadapan Tommy Thomas. Beliau dalam ucapannya telah membangkitkan isu perbelanjaan Raja-raja yang ditanggung rakyat, keturunan Raja yang diangkat oleh British dan Raja yang semakin meluas menentang dan menceroboh Perlembagaan.

3. Sangat pelik bagi seorang Peguam Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan diwar-warkan sebagai pakar perlembagaan sebelum menjadi Peguam Negara tidak tahu bahawa kandungan ucapan Dr Syed Husin Ali itu bersifat menghasut. Saya dimaklumkan laporan polis telah dibuat terhadap ucapan tersebut dan lagi pelik apabila Peguam Negara boleh bersama dalam majlis yang dianggap sebagai jenayah terhadap Raja-raja Melayu oleh sebahagian rakyat.

4. Membiarkan sahaja perbuatan itu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sangat menjejaskan kredibiliti beliau sebagai Peguam Negara. Sekurang-kurangnya, beliau perlu menegur dan membetulkan kenyataan tersebut atas kapasiti selaku Peguam Negara. Sama seperti beberapa hari yang lalu, ekoran kenyataan Perdana Menteri bahawa Perlembagaan Negeri Johor dan Terenggganu terbatal apabila Malaysia ditubuhkan, saya sudah bangkitkan di mana peranan Peguam Negara untuk menasihati kerajaan sehingga timbul dakwaan baru yang sangat menyeleweng ini?

5. Berdasarkan prestasi yang ada, beliau dilihat menjadi liabiliti kepada kerajaan dan mencetuskan rasa kurang senang rakyat dalam isu-isu yang membabitkan negeri, Raja-raja Melayu dan Islam. Melainkan Pakatan Harapan sudah bersedia untuk kalah PRU-15, sekali lagi saya tegaskan, Tommy Thomas patut dipecat kerana mengekalkan beliau sebagai peguam negara hanya membenarkan lebih banyak kerosakan berlaku terhadap negara.

“Islam Memimpin”

Haji Ahmad Amzad Bin Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
29 April 2019/ 23 Syaaban 1440H