Dera Pembangkang, Skop Tugasan Menteri Kewangan?

266
Kementerian Kewangan Malaysia

Oleh: Mohd Nasir Abdullah

Sejarah politik di Malaysia, tidaklah terlalu dihiasi dengan warna-warna darah pejuang-pejuang politik. Ianya tidaklah terlalu ganas berbanding negara-negara jiran. Beberapa kisah yang boleh disebut dan diingati seperti kisah pembunuhan di Negeri Sembilan yang melibatkan Datuk Mokhtar Hashim manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Raub, Datuk Mazlan Idris pula dibunuh oleh Mona Fendi, kedua-duanya melibatkan Umno-BN.

Ianya berjaya diselesaikan di mahkamah. Sementara beberapa peristiwa ‘unsolved mystery’ seperti kisah di Lubuk Merbau, pembunuhan Abdul Samad Gul di Kelantan, Peristiwa Memali, yang semua itu menimpa PAS, sehingga kini, masih misteri. Tidak lupa juga dengan peristiwa 13 Mei yang terpalit kepada semua. Ini jelas menunjukkan bahawa politik Malaysia tidak keterlaluan dari segi penderaan fizikal. Cumanya kita agak pelik kerana yang sentiasa menjadi mangsa ialah PAS, dan kesnya seperti tiada kesudahan.

Namun, ada penderaan yang tidak kurang perit dan pedih yang disediakan kerajaan memerintah, siapa lagi kalau bukan Umno-BN dahulu. Mereka mendera mental, bukan sahaja kerajaan pembangkang, malahan juga rakyat yang memilih untuk berada di bawah pembangkang. Hal penderaan ini tidaklah sangat dirasakan suatu ketika diawal tertubuhnya Malaya dan kemudiannya Malaysia dahulu kerana negara kita tidaklah mempunyai pendapatan terlalu besar.

Masyarakat majoriti terdiri daripada kalangan petani, nelayan yang sememangnya sudah biasa hidup susah. Bagi mereka, kerajaan membantu atau tidak, tiadalah kerisauan di hati mereka. Makanan segar ada di belakang rumah. Ayam, itik, lembu, kerbau, sayur-sayuran, pokok kayu adalah simpanan makanan mereka. Ada sesetengahnya mungkin tidak pernah melihat wang kerana masih menggunakan sistem barter. Apa lagi kereta ataupun motor. Yang mereka tahu, negara sudah merdeka, selamat daripada penjajah.

Setelah negara memasuki era permodenan, ketika pertengahan 70-an, BN dan PAS, bersatu di bawah satu bumbung. Masing-masing saling bantu membantu. Tiada negeri pembangkang. Akhir 70-an BN mula menunjukkan belangnya. PAS ditendang keluar dari kerajaan. Kelantan dirampas dan sekali lagi, Malaysia di bawah pemerintahan satu parti, tiada satu pun negeri dikuasai pembangkang. Maka berjalanlah pentadbiran negara seperti biasa.

Masalah mula timbul apabila pada tahun 1990, Kelantan dengan hati yang bulat, memilih PAS yang berlambangkan bulan bulat dengan memberikan jumlah bulat iaitu kosong kerusi kepada Umno-BN dan Sabah memilih Parti Bersatu Sabah (PBS). Ketika ini juga negara sedang rancak dimajukan. Rakyat mula pandai menagih hak masing-masing, terutama berkenaan kebendaan.

Ketika itu Tun Daim Zainuddin sudah memegang amanah sebagai Menteri Kewangan selama enam tahun. Dan episod mendera negeri dan rakyat pembangkang pun bermula. Tun Ghaffar Baba pernah mengatakan dengan penuh keyakinan bahawa Kelantan akan hanya mampu bertahan selama TIGA bulan sahaja. Keyakinan ini bukan sekadar omongan kosong. Ia pastinya disertai dengan tindakan bagi memastikan agenda itu berjalan.

Daim secara diam memainkan peranan melambat-lambatkan pembayaran geran perkapita tidak sebagaimana sepatutnya yang ada dalam semangat federalisma. Namun Kelantan bertahan, membuat catuan yang memeritkan. Kepada Allah mereka berserah sambil berusaha berjimat cermat. Sehingga hari ini, tidak kedengaran lagi kegagalan Kelantan membayar gaji, kecuali ditohmah. PBS yang menguasai Sabah kemudiannya, menyerah diri kepada BN.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan sangat rapat dengan PAS ketika mengetuai Abim zaman muda beliau, menerima baton Menteri Kewangan daripada Tun Daim pada tahun 1992. Tradisi menekan Kelantan, rupanya diteruskan disebalik wajah Islaminya dan walau pernah bersekutu dengan PAS. Tidaklah begitu pelik kejadian ini kerana dikatakan Anuar Sadat, Presiden Mesir, sebelum menjawat jawatan tertinggi itu juga baik dengan golongan Ikhwanul Muslimin.

Tetapi sejarah menintakan, kejahatan Sadat kepada bekas rakannya itu, bagaikan tiada bertepi. Pernah Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Aziz meminta bantuan beliau atas sifat sebagai seorang rakan. Namun, sindiran tajam yang diterima. Bagaimana mahu memerintah Kelantan jika tidak tahu ekonomi, kata Anwar. Akhirnya yang menghina mencari yang dihina ketika susah dan difitnah. Begitulah pusingan roda.

Setelah Anwar diturunkan dengan cara hina oleh ketuanya, maka ketuanya ketika itu pula memegang jawatan Menteri Kewangan. Tun Mahathir meneruskan lagi legasi membantai Kelantan dengan pelbagai kerumitan yang direka bagi merampas kembali Kelantan. Tidak lama selepas itu, pada tahun 1999, Terengganu juga berjaya diambil alih pemerintahannya oleh PAS. Menjadi dua kerja bagi Tun untuk mendera.

Namun, kerja menekan Terengganu agak mudah kerana kebodohan Umno Terengganu sendiri yang mencadangkan agar royalti petroleum disekat daripada diberikan kepada Kerajaan Negeri. Saya nyatakan bodoh kerana Tun Mahathir sendiri menggelarkan Umno Terengganu ‘so stupid’.

Sempatlah merasa buat kali pertama Kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh PAS akan hasil minyak itu dan ianya juga menjadi yang terakhir. Jatuhlah Terengganu hasil tekanan itu pada tahun 2004 ditambah dengan faktor wang ehsan yang ditabur dan Kelantan, hampir-hampir tersungkur juga. Kemudian, 2005 dengan kekalahan pada PRK Pengkalan Pasir, PAS Kelantan hanya bergantung kepada dua helai kertas undi sebagai talian hayat iaitu di Dun Kemuning. Bertahan mereka sehingga selesai penggal ke-11 dimana Abdullah Ahmad Badawi pula ketika itu mengambil tugasan mendera kerajaan negeri pembangkang, sebagai Menteri Kewangan. Sikap Mr Clean, anak kepada ulamak ini juga sama. Mendera Kelantan.

Datuk Seri Najib kemudiannya berjaya meminggirkan Pak Lah dengan bantuan Tun Mahathir. Dan sebagai tradisi, Perdana Menteri akan merangkap menjadi Menteri Kewangan. Pada PRU 12, Umno-BN sudah kehilangan banyak negeri, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan juga Selangor. Pulau Pinang dan Selangor masing-masing dianggap sebagai negeri kaya. Maka dengan modal yang besar dan mungkin juga atas dasar negeri itu kurang melayu, jadi mereka seperti tidak terlalu tertekan.

Tinggallah Kelantan dan Kedah yang majoriti penduduknya Melayu Islam. Rebah Kedah pada PRU 13 yang ketika memerintah, mewarisi hutang Umno lebih satu billion. Tetapi Kelantan, alhamdulillah masih bertahan. Manakala Pulau Pinang dan Selangor juga kekal. Najib juga tidak gagal mendera Kelantan dan ketika bulan-bulan terakhir pemerintahan beliau, masih sempat menyindir Kelantan berkenaan gaji. Dia akhirnya beliau tumbang, putaran alam menceritakan.

Kini, Malaysia telah berubah tampuk pemerintahan secara total mengikut parti. Tetapi walaupun begitu, watak-watak menekan kerajaan negeri pembangkang, masih ada lagi yang kekal. Tun Mahathir, Tun Daim, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terkini bekas Menteri Kewangan 2 Datuk Mustapa Mohamed bergabung dalam satu ikatan yang membentuk kerajaan. Tidak banyak yang kita harapkan perubahan sebenarnya walaupun parti yang lain menguasai kerajaan. Memegang jawatan Menteri Kewangan sekarang ialah Lim Guan Eng. Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang pernah didera dan dicerca oleh Kerajaan Pusat suatu ketika dahulu. Seharusnya beliau merasakan betapa hinanya perbuatan menekan kerajaan pembangkang yang mana beliau pernah menentangnya dahulu. Tidak setakat itu, Lim mencabuli kehendak perjanjian seperti sudah menjadi keseronokan. Melampaunya beliau sehingga mendedahkan surat rahsia antara kerajaan untuk menghina, tidak pernah dilakukan BN.

Tetapi beliau tiada rasa malu. Mungkin kerana antara skop tugasan utama sebagai Menteri Kewangan ialah mendera negeri pembangkang terutamanya yang berteraskan Islam seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah dahulu. Bencinya mereka dengan segala macam agenda Islamisasi, sangat jelas. Sehingga kini, walaupun menurut Menteri Besar Terengganu, royalti sepatutnya sudah dibayar, tetapi mereka masih diam membisu.

Tidak tahu bagaimana statusnya. Takut mereka jika berbillion wang sah kepunyaan rakyat Terengganu dan Kelantan, dapat diuruskan dengan baik, dan sememangnya akan menjadi baik pengurusannya oleh kerajaan kedua-dua negeri, maka akan terlihatlah keadilan Islam ini. Jadi mendera Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu adalah jalan terbaik bagi menyekat kemaraan PAS dan Islam.

Saya meyakini, inilah antara tanda-tanda kebenaran Islam, orang yang beriman, akan diuji dengan sedikit ketakutan, kemiskinan. Ujian ini hanyalah bagi membenarkan keteguhan iman kita. Kita akan mati, pasti mati. Tidak akan disoal, apakah sudah berjaya atau tidak, tetapi apakah yang dilakukan kita mengikut Islam atau tidak atas segala jalan yang kita tempuhi. Inilah redha Allah. Sabarlah semua, berdoalah, sesungguhnya jalan kepada Allah itu sukar, tetapi ada ganjaran di akhirat jika tidak ada di dunia.