Denak

301

Richard The Lionheart ialah seorang raja England yang kental melawan mujahidin Islam. Beliau begitu komited menentang Sallehuddin al-Ayubi ketika kemuncak Perang Salib yang berlangsung pada sekitar akhir kurun ke-12. Kesungguhan beliau ditunjukkan dengan beliau sendiri turun ke medan perang, mengepalai angkatan perang beliau. Perang Salib adalah perang agama, berterusan, sebenarnya sehingga kini.

Sehingga pada suatu ketika beliau sakit, Sallehuddin datang menziarahinya secara senyap ke tempatnya. Begitu akhlak Islam. Namun, ketentuan Allah mentakdirkan King Richard tewas kepada Sallehuddin. Sebelum beliau mati, beliau telah berpesan supaya Islam tidak dilawan secara perang. Hendaklah menggunakan tipu daya supaya Kristian dapat menang.

William Ewart Gladstone, Perdana Menteri British pada akhir kurun ke-19, pernah dikhabarkan membawa senaskah al-Quran ke Parlimen Britain. Beliau dengan lantang memberitahu parlimen bahawa Islam tidak boleh dikalahkan selagi tiga perkara utama umat Islam masih belum dihapuskan iaitu ibadat haji, solat Jumaat dan al-Quran ini berada bersama dengan orang Islam. Ia mesti dipisahkan dari hati-hati umat Islam.

Dua kisah yang saya sebutkan ini adalah fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak. Musuh Islam begitu sukar mahu mematahkan kekuatan Islam zaman itu, kerana teguhnya tali ikatan atas nama Allah yang mereka pegang ketika itu. Maka kecewalah mereka kerana Islam menguasai dunia. Tetapi mereka tidak pernah berputus asa untuk agama mereka. Bangun dari kekalahan, mereka melihat jalan ini dari sudut pandangan yang lain.

Ya, bukan fizikal, tetapi hati yang bertaqwa itulah yang menjadi asas kekuatan mukmin. Dalam khutbah Jumaat, perkataan taqwa itu menjadi salah satu rukun khutbah, mendoakan kepada umat Islam juga sebagai rukun. Himpunan jemaah itu juga tidak boleh terlalu sedikit, agar ia menepati ruh Jumaat itu sendiri bagi mengumpulkan umat. Haji juga begitu. Himpunan mega umat Islam. Tempat bertemunya alim ulamak dahulu. Ibadat ini jelas menguatkan ketaqwaan dan mengukuhkan perpaduan umat.

Manakala al-Quran pula ialah manual kepada bagaimana cara menghidupkan kedua-dua hal ini. Jadi musuh Islam sudah melihat, apa yang mesti mereka hapuskan. Kesatuan hati dan ketaqwaan orang Islam. Jika hanya beribadat, mereka tidak hairan kerana ibadat mereka belum tentu betul. Ia juga sangat mungkin tidak mengikut syariat dengan tepat. Tetapi jika mereka membaca, belajar dan memahami al-Quran, maka ketaqwaan dan perpaduan Islam akan timbul, kerana mereka beribadat dengan betul. Jadi al-Quran, wajib dipadamkan dari hati-hati mereka.

Apa alat yang sesuai? Denak ialah medium pemusnah yang sesuai. Denak ialah suatu jenis perangkap bagi mencari mangsa, binatang buruan, biasanya burung dan ayam hutan. Denak mesti datang dari spesis yang sama bagi menarik perhatian mangsa itu. Denak ditugaskan mengajak mangsa dari keturunan mereka untuk masuk perangkap yang disediakan tuannya. Denak akan berkerja untuk tuannya, dia tidak memperdulikan spesis mereka terkorban, walau dipujuk rayu.

Dia diberi makan kerana tugasnya. Diberi sarang bagi dia berehat sebelum menyambung semula tugas mereka. Tiada keistimewaan lain. Begitulah kitaran hidup denak, makan, tidur dan memerangkap kawannya. Taat sungguh denak dengan tuannya. Tuan denak sangat gembira dengan denak kerana denak adalah sumber rezeki mereka. Denak pula tidak sedar yang suatu hari nanti, mereka juga akan menjadi lauk kepada tuannya. Malang sungguh nasib si denak, khianat kepada spesisnya, tiada dikira budi oleh tuannya.

Dan Islam juga dihancurkan dari dalam oleh si denak ini. Mereka menjadi talibarut musuh hanya dengan beberapa upah yang murah, ditipu oleh sang musuh. Itulah yang dicaturkan oleh musuh Islam bagi menghapuskan Islam. Kita dikhianati oleh denak dari kalangan kita sendiri. Bangsa yang sama, berbahasa sama, warna kulit yang sama dan tinggal berdekatan dengan kita. Mereka tiada rasa bersalah, malah kita pula yang disalahkan. Mereka memecahkan perpaduan sesama kita bagi mengikut skrip tuan mereka.

Sallehuddin al-Ayubi mematahkan dahulu segala kemungkinan khianat dari dalam pasukan. Baghdad jatuh kerana khianat orang dalam, si Syiah yang berpakat dengan Hulagu Khan, tetapi akhirnya, dia dibunuh. Othmaniyyah dikalahkan atas hasil usaha jahat Kamal Attartuk yang berpakat dengan Eropah.

Sebelum itu denak telah dihantar ke istana khalifah Othmaniyyah oleh musuh atas nama hadiah, ada dengan cara gundik yang cantik, yang kemudiannya melahirkan anak-anak, menjadi khalifah, yang dikawal oleh ibu mereka. Sharif Hussein, pengawal Dua Kota Suci juga berpaling tadah. Dia menurut si kafir Lawrence of Arabia dengan menjanjikan jajahan yang luas kepada beliau jika menolong menewaskan Othmaniyyah. Akhirnya beliau ditipu, dan dikenang sebagai pengkhianat.

Jadi, janganlah kita menjadi denak yang hina, lebih-lebih lagi dalam menjahanamkan bukan sahaja bangsa, malah agama kita sendiri. Sudah dibuang segala al-Quran dalam jiwa mereka. Sudah dibelit segala tafsiran al-Quran, bagi memenuhi selera tuan mereka. Saya yakin, amat yakin, kita sudah mengenali denak-denak dari kalangan kita dizaman ini. Jauhkan diri kita dari mereka. Jalan yang mereka rentasi ialah jalan kepada menghancurkan Islam. Kita mesti menentang mereka

Mohd Nasir Abdullah
Bukit Payong, Marang
20 Ogos 2019