Demokrat Palsu; PM Kena Sedar dan Bertindak!

392

Tulisan Mark Mackinnon bertajuk  “A 21st-century checklist of the new autocrats” disiarkan pada 8 Jun 2012 oleh akhbar tersebut. Antara alasan penulis ini melabelkan PM sebagai ‘demokrat palsu’ adalah dengan menyatakan “pemimpin ini mengadakan pilihan raya tetapi tiada hasrat memberikan kuasa” dan “penentang politik seriusnya dipenjara dan parti mereka diharamkan atas alasan teknikal”.

DPPM berpandangan, kerajaan Malaysia tidak perlu melenting dengan tuduhan tersebut, sebaliknya kerajaan perlu bermusabah diri melihat kebenaran disebalik label yang ditakrifkan terhadap PM. Secara faktanya penulis ini bukan sebarangan individu kerana beliau pernah menjadi pemenang anugerah kewartawanan serta sudah mewawancara sebahagian pemimpin paling kontroversi dan terkemuka di seluruh dunia. Sudah tentu, beliau tidak menulis secara semberono dan menulisnya tanpa fakta atau persepsi yang kukuh.

Seharusnya PM menyedari hakikat diri dan pentadbiran beliau sehingga dilabelkan sedemikian. Beliau harus sedar, selama pemerintahan beliau dan partinya, mungkin segala tindakan yang beliau dan pemimpin sebelumnya lakukan adalah bersamaan dengan apa yang dilabelkan itu. Kepincangan ini bukan sahaja rakyat sahaja merasainya, malah masyarakat antarabansga juga sudah mula membuka mata dan mengata beliau secara terbuka di khalayak dunia.

Antaranya, sikap berat sebelah pemerintahan beliau dan pemimpin UMNO sebelum beliau terhadap parti-parti politik pembangkang, liputan media yang amat tidak adil- bahkan fitnah yang melampau terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, pembantaian terhadap rakyat dalam perhimpunan awam yang mereka anjurkan, menangkap pemimpin dan aktivis ke dalam ISA atau akta yang seumpama dengannya,  kekangan terhadap penjawat awam dan mahasiswa serta lain-lain lagi. Tambahan pula, sikap PM yang merahsiakan tarikh pilihan raya menjadi sebab beliau dilabel sebegitu.

DPPM meminta PM sekiranya beliau berkeras menolak label yang ditohmah itu, beliau perlu menafikannya dengan tindakan. Antara tindakan yang perlu dilakukan segera adalah melakukan perubahan daripada menjadi ‘demokrat palsu’ kepada ‘demokrat tulen’. Antaranya berlaku adil terhadap semua parti politik, memulihkan agensi kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya benar-benar berwibawa, memberikan liputan yang adil melalui media kepada semua parti politik dan menghentikan politik fitnah dan kotor. Paling penting beliau bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kekalahan dalam PRU ke 13 dengan hati terbuka tanpa usaha melakukan penipuan dalam sistem pilihan raya di negara ini

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia