Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Tokoh Ma’al Hijrah Terengganu

245

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menganugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah 2019, peringkat negeri ini kepada tokoh ulama’ dan ahli politik gerakan Islam, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau kini merupakan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Marang serta menjawat pelbagai jawatan penting di pelbagai peringkat nasional dan antarabangsa.

Di peringkat antarabangsa, beliau merupakan mantan Naib Presiden Ulama Muslimin Sedunia (2014-2018) dan pernah dinobatkan sebagai antara Muslim yang paling berpengaruh di dunia oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpengkalan di Amman, Jordan.

Beliau telah diberikan pengiktirafan ini menerusi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani (Preachers & Spritual Guides) di dalam keluaran terbaru The Muslim 500 ; The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2016.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Abdul Hadi melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan menjunjung kasih kepada Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, di atas penghargaan itu.

Kata beliau, penganugerahan itu sebenarnya daripada rakyat kerana telah berkhidmat kepada rakyat yang mendukung perjuangan ini.

“Syukur kepada Allah SWT dan junjung kasih kepada Tuanku Sultan (Sutan Mizan Zainal Abidin) yang memberi penghargaan kepada saya.

“Sebenarnya, itu daripada rakyat kepada saya, kerana berkhidmat untuk rakyat dan rakyat memberi sambutan serta mendukung, umat memberi sambutan. Itu yang mengurniakan kita.

“Jadi, saya bersyukur kepada Allah SWT dan menjunjung kasih. Terima kasih kepada semua,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkenan merasmikan majlis sambutan Ma’al Hijrah itu bersama Sultanah Nurzahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az serta Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (Dun), Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan pakej umrah bernilai RM10,000 sebuah trofi serta sijil penghargaannya.

Biodata Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan tokoh ulamak dan ahli politik gerakan Islam yang terkemuka di peringkat national dan antarabangsa.

Beliau dilahirkan di Kampung Rusila, Marang, Terengganu pada 20 Oktober 1947. Beliau yang merupakan anak yang kelima daripada sembilan adik beradik ini adalah hasil perkongsian hidup Tuan Guru Haji Awang Mohamad Abdul Rahman dan Hajah Aminah Yusof. Bapanya merupakan seorang ulama’ tempatan yang dikenali ramai dan Imam Masjid Kampung Rusila, Marang.

Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Kebangsaan Rusila dan Sekolah Agama Marang. Kemudian beliau dihantar oleh bapanya untuk meneruskan pengajian menengah di Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (SMASZA).

Tamat pengajian menengah, beliau ditawarkan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah Islam, Universiti Madinah di Arab Saudi pada tahun 1969 sehingga 1973. Kecintaan beliau kepada ilmu tidak terhenti setakat itu.

Beliau kemudian menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Siasah dan Syariah (Sains Politik) di Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1974 dan tamat pada 1976. Setelah menamatkan pengajian di Mesir pada tahun 1976 beliau telah pulang ke tanah air untuk menabur bakti kepada bangsa, agama dan negara tercinta.

Dato’ Seri Abdul Hadi pernah menjawat sebagai Pegawai Yayasan Islam Terengganu selama dua tahun dan kemudiannya menabur jasa sebagai tenaga pengajar di Institut Berakan (Maahad Ikhwan) di Kuala Terengganu.

Seterusnya episod yang penting dalam lembaran hidup Dato’ Seri Tuan Guru ialah keterlibatan beliau dalam arena politik gerakan Islam sejak dari awal iaitu tahun 1964 sehinggalah dipilih sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat pada 1980.

Pada tahun 1982, beliau telah dipilih sebagai wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang (Marang). Kredibiliti beliau sebagai ahli politik gerakan Islam semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Timbalan Presiden PAS pada 1989 dan pada tahun 1999, beliau telah diamanahkan sebagai Menteri Besar Terengganu sehingga tahun 2004.

Sebagai seorang tokoh gerakan Islam, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi tidak jemu-jemu dalam menyampaikan ilmu yang dimilikinya dalam mendidik masyarakat agar berpegang kepada ajaran agama Islam.

Beliau sering kali diundang untuk memberikan ceramah-ceramah agama, penjelasan berkaitan agama, seminar-seminar, kursus, bengkel, jemputan di radio dan TV di pelbagai peringkat sama ada dalam negara mahupun luar negara.

(Yang Berhormat) YB. Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi telah menghasilkan 108 buah karya yang telah diterbitkan. Antaranya yang terkenal iaitu Kuliah Tafsir al-Baqarah, Fiqh al-Haraki dari Sirah al-Nabawiyah, Ke Arah Pembentukan Harakah Islamiyyah : Individu dan Organisasi, Muqaddimah Aqidah Muslimin dan Islam Memimpin.

Dari segi kekeluargaan, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Seri Hajah Zainab Awang Ngah pada tahun 1976. Perkahwinan beliau yang kedua pula pada tahun 1991 dengan Dr Norzita Taat. Hasil perkahwinan kedua-dua perkahwinan ini, beliau dikurniakan 14 orang zuriat.

Sumbangan dan bakti Ustaz Abdul Hadi itu telah mendapat pengiktirafan pihak pentadbiran kerajaan negeri, di mana beliau telah dianugerahkan darjah kebesaran negeri iaitu D.P.M.T. yang membawa gelaran “Dato Seri “ pada tahun 2001.

Sesungguhnya, Dato’ Seri Abdul Hadi juga tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat. Beliau juga tidak jemu-jemu mengembleng tenaga dan fikirannya demi untuk menyebar dan memanfaatkan ilmu pengetahuan dan pengalamannya kepada umat Islam di negeri ini dan Malaysia amnya.

Kesimpulannya, dapatlah dikatakan YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan seorang ulama‘ yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara, khususnya kepada negeri Terengganu Darul Iman sejak dahulu lagi.

Berasaskan kepada pencapaian tersebut di atas, maka kerajaan negeri Terengganu telah memilih dan mengisytiharkan Yang Berhormat Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 1441H / 2019M Peringkat Negeri Terengganu.