Dato’ Haji Husain Awang Senator Baharu

7192
YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang, Pesuruhjaya PAS Negei Terengganu merangkap Ahli Dewan Negara

Oleh : Suhaimi Taib

Kuala Terengganu – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu melantik Pesuruhjaya PAS Negeri itu,  Dato’ Haji Husain Awang sebagai Ahli Dewan Negara (ADN)  yang baharu bagi mengisi satu kekosongan di Dewan Negara,  menurut Perkara 45 (1A) Perlembagaan Malaysia mengikut Jadual Ketujuh.

Yang Dipertua DUN itu Haji Yahaya Ali membuat perlantikan itu setelah mendapat undian sebulat suara dari ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Ke 14 pada 4 Julai.

Nama Dato’ Haji Husain dicadangkan oleh Menteri Besar Terengganu,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar manakala ADUN Buloh Gading, Ustaz Haji Ridzuan Hashim menyokong cadangan tersebut.

Sebelum itu Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad Kelima telah memaklumkan kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bahawa berlaku satu kekosongan ADN bagi Negeri Terengganu dan perlu dilantik ADN yang baharu di bawah Perkara 45 (1A) Perlembagaan Malaysia Mengikut Jadual Ketujuh.

Selepas itu, Sultan Mizan memaklumkan kekosongan tersebut kepada Haji Yahaya untuk membuat perlantikan baharu di Persidangan DUN tersebut.

Dato’ Haji Husain hadir dan turut diperkenalkan oleh Yang Dipertua Dewan  dalam persidangan berkenaan.

Beliau dilahirkan di Besut Terengganu pada 10 Ogos 1946 dan mempunyai 10 orang cahaya mata dari seorang isteri Toh Puan Hajjah Meliah Muhammad.

Dato’ Haji Husain adalah bekas Yang Dipertua DUN Terengganu dari 1999 hingga 2004 dan merupakan Ahli Majlis Syura Ulama PAS serta Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat yang dilantik sejak 2013 sehingga sekarang.

Beliau yang juga pemegang ijazah pertama dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Kuala Terengganu dan Kolej Islam Kelang.

Dato’ Haji Husain mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Luas,  Jerteh Besut dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama (Atas)  Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu.