Dana PAS Dari Poket Ahli

1095

Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA NERUS – Kelancaran setiap program Parti Islam SeMalaysia (PAS) samada dari sudut pentadbiran, pengurusan dan juga hal ehwal pilihan raya, semuanya datang dari poket ahli PAS dan masyarakat.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hj Husain Bin Awang berkata, ini membuktikan yang kita (PAS) tidak lari dari amalan tradisi sejak daripada dahulu.

Tambahnya, kebergantungan PAS hanya kepada sumbangan daripada ahli yang telah di didik dan di bentuk dengan tarbiyah Islamiyah.

“Sudah menjadi budaya dalam PAS mengadakan majlis makan malam bagi mengumpul dana yang dianjurkan oleh semua pihak bermula dari peringkat pusat sehinggalah ke peringkat cawangan,

“Ini membuktikan bahawa kita memerlukan dana kewangan yang berterusan dan para ahli digalakkan untuk menyumbang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Makan Malam Dana Pembangunan KOMTAQ yang diadakan di Kompleks Tarbiyah At Taqwa, Kuala Nerus, semalam.

Menurutnya, 80 meja berjaya dijual untuk makan malam tersebut dan kos setiap meja adalah RM500 adalah dari sumbangan orang ramai juga.

“Sekarang ini kita masih lagi menjalankan usaha mengumpulkan dana walaupun bukan untuk pilihanraya, tetapi melengkapkan prasarana dan kemudahan-kemudahan asas kepada parti,” tambah beliau.

Turut hadir ialah, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Ustaz Ridzuan Hashim.