Cuti Mingguan Hari Jumaat Khabar Gembira Bagi Umat Islam

3115

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berharap ura-ura cadangan Kerajaan Negeri Johor mahu mengembalikan semula cuti mingguan negeri kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai Januari 2014 benar-benar terlaksana. DPPM menganggap cadangan Kerajaan Negeri Johor amat baik dan wajar dilaksanakan. Umat Islam pastinya bergembira dengan keputusan Kerajaan Negeri Johor serta mampu mengembalikan syiar di negeri tersebut.

Paling tidak, keputusan ini dapat memastikan umat Islam di negeri tersebut tidak terkecuali dapat melaksanakan ibadat yang wajib serta memuliakan penghulu segala hari serta tidak ada alasan bagi umat Islam lari dari menunaikan tanggungjawab terhadap agamanya sendiri.

Hari Jumaat dijadikan sebagai penghulu segala hari dengan meraikan kelebihan serta keistimewaan berbanding hari lainnya. Dari segi praktikalnya, kebiasaannya hari Jumaat adalah hari singkat dan umat Islam terburu-buru untuk ke masjid bagi menunaikan tanggungjawab beribadah. Produktiviti akan sedikit terjejas kerana singkatnya masa bekerja atau perkhidmatan. Sebaliknya jika hari Ahad adalah hari bekerja, pekerja tidak perlu terburu-buru mengejar waktu kerana Ahad adalah hari sama seperti lainnya. Waktu bekerja akan menjadi lebih efisyen dan panjang bebranding sebelum ini.

DPPM amat berharap negeri-negeri lain dapat mencontohi negeri yang telah melaksanakan cuti pada hari Jumaat dan Sabtu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Jika ini dapat diselaraskan di seluruh negara, produktiviti negara akan semakin bertambah meningkat disamping rakyat dan negara akan hidup dengan penuh keberkatan di bawah lembayung rahmat Allah SWT.

*** Artikel adalah kenyataan media Ketua Penerangan DPPM, Dr Usta Riduan Mohd Nor