Cukuplah Mahathir, bertaubatlah

401
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita2/Mahathir_Mohamad.jpg

Kita kena bezakan antara dua ini… lain langsung,” “Saya tidak boleh sokong itu, tidak kena dengan Islam. Kalau sesuatu itu tidak adil, dia tidak Islam. Islam menuntut apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Ini tidak adil, orang Islam potong tangan tapi orang bukan Islam kena penjara dua bulan,” Katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Kata-kata Mahathir itu menjadi bahan kempen  penceramah-penceramah UMNO untuk memutar belit pendirian UMNO tentang Undang-Undang Jenayah Syariah Islam (Hudud dan Qisas).

1-      Beliau mahu mengelirukan rakyat  supaya rakyat tidak menganggap UMNO menolak Hudud, walaupun memang UMNO menolak Hudud dengan apa sahaja alasan dan dalih. Beliau tolak Hudud PAS bukan Hudud Islam. Mana Hudud Islam yang diyakininya?  Mana Hudud UMNO? Maknanya, beliau tidak membaca Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah islam (Hudu dan Qisas) Terengganu dan Kelantan,  membaca tapi tidak memahaminya atau memahaminya tapi tetap ingkar dan sombong untuk menerima kebenarannya.

2-      Kenyataan beliau membuktikan kejahilannya dan kesombongannya untuk tidak mahu mendengar penjelasan dan hujjah-hujjah yang telah disampaikan oleh Ulama PAS tentang perkara-perkara yang dipertikaikan olehnya, walaupun hujjah dan dalil yang dikemukakan bersumberkan al-Quraan dan Hadis Nabi S.A.W.

3-      Beliau mengulangi kecurigaan tentang keadilan Undang-Undang Jenayah Syariah Islam (Hudud Dan Qisas) yang diluluskan oleh PAS, walaupun UMNO gagal dan tidak berupaya serta memang tidak berusaha untuk menggubalkan Undang-Undang jenayah Syariah Islam (Hudud dan Qisas) di Malaysia dan negeri-negeri di bawah pemerintahan UMNO semenjak merdeka.

4-      Sebaliknya, beliau telah menggambarkan kepada rakyat agar meyakini keadilan  undang-undang cipta manusia yang dilaksanakan di Malaysia, walaupun undang-undang cipta manusia gagal membanteras jenayah, tidak bebas daripada kezaliman dan terbelenggu dengan sistem kehakiman yang korupsi. Hakikatnya, memang UMNO meyakini dan memperjuangkan undang-undang cipta manusia dan memcurigai Undang-Undang Allah.  Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 50 :

50. “Sesudah itu, Patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal – kepada orang-orang Yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa Yang boleh membuat hukum Yang lebih pada daripada Allah.”

5-      Kenapa Mahathir dan pimpinan UMNO tidak mahu membaca firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 42 atau memang Mahathir dan pimpinan UMNO tidak mempercayai dan menolak hujah ayat-ayat Allah. Firman Allah :

“Oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka Dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.”

Imam Al-Qurtubi menyatakan : “Ini merupakan pilihan daripada Allah sebagaimana yang disebut oleh AlQusyairi.” Enakmen Jenayah Syariah Islam (Hudud dan Qisas) Terengganu juga selaras dengan pandangan ini dan ramai Ulama.

____________________________________________________________________________________________

ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M. BAHAGIAN XI

Seksyen 59. Pemakaian Enakmen Ini.

(1) Pemakaian Enakmen ini, tertakluk kepada subseksyen (2), Enakmen ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap orang Islam yang mukallaf mengenai apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya dalam Negeri Terengganu.

(2) Tidak ada apa-apa dalam Enakmen ini yang menghalang seseorang yang bukan Islam daripada membuat pilihan supaya Enakmen ini terpakai ke atasnya mengenai apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya dalam Negeri Terengganu dan sekiranya seseorang bukan Islam itu membuat pilihan sedemikian, maka peruntukan Enakmen ini,mutatis mutandis terpakai ke atasnya seperti juga peruntukan-peruntukan tersebut terpakai ke atas seseorang Islam.

6-      Keadilan bukan bererti sama rata. Mahathir mempertikaian, kenapa pencuri orang Islam dipotong tangan tetapi pencuri bukan Islam hanya di penjara tiga tahun ?. Seolah-olah Mahathir juga mempertikaikan, kenapa lelaki Islam diwajibkan berkhatan tapi lelaki bukan Islam tidak diwajipkan berkhitan. Apakah Mahathir juga mempertikaian tentang keadilan undang-undang yang tersedia ada yang dilaksanakan hari ini yang mengenakan hukuman terhadap muslim mukallaf yang tidak berpuasa dan makan di siang hari di kedai milik non muslim?. Si muslim dikenakan denda dan hukuman tetapi pemilik kedai non muslim tidak dihukum dan bebas. Apakah Mahathir mempertikai tentang keadilan undang-undang yang mengenakan hukuman terhadap muslim yang ditangkap khalwat dengan wanita non muslim tetapi wanita non muslim bebas daripada hukuman. Apakah Mahathir juga mempertikaikan keadilan undang-undang yang mengenakan hukuman terhadap muslim yang enggan mengeluarkan zakat, sedangkan non muslim bebas dan tidak dikenakan apa-apa hukuman, walaupun mereka enggan mengeluarkan zakat harta benda ?. Enakmen Jenayah Syariah Islam Pahang juga mengenakan hukuman sebatan terhadap kesalahan zina ke atas orang Islam, walaupun dia berzina dengan bukan Islam.

7-      Saya membawa 2 contoh undang-undang yang digubal dan diluluskan oleh UMNO yang hanya dikenakan hukuman terhadap muslim/ orang Islam sahajatapi orang bukan Islam bebas.

Pertama :

ENAKMEN 4 TAHUN 1997ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 1997BAHAGIAN I – PERMULAAN. Seksyen 1. Tajuk ringkas, mula berkuatkuasa dan pemakaian.

(1) Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta.

(2) Enakmen ini hendaklah terpakai hanya bagi-

(a) Negeri Johor; dan

(b) Orang Islam sahaja.

BAHAGIAN IV – KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUSILAAN

Seksyen 23. Persetubuhan luar nikah.

(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(2) Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya adalah keterangan prima facie tentang kelakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh orang perempuan itu.

(4) Bagi maksud subsekyen (3), mana-mana orang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.

Seksyen 25. Liwat.

Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Seksyen 27. Khalwat.

(1) Mana-mana-
(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau

(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kedua :

AKTA 559 / AKTA KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997BAHAGIAN I – PERMULAAN

Seksyen 1. Tajuk ringkas, mula berkuatkuasa dan pemakaian.

(1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta.

(2) Akta ini hendaklah terpakai hanya bagi-
(a) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sahaja; dan

(b) orang Islam sahaja.

8-      Apakah Mahathir lupa tentang azab dan hukuman Allah bukan sahaja di dunia tapi juga di akhirat ?. Non muslim yang mati akan diazab oleh Allah dengan dahsyat bukan sahaja dengan sebab kekafiran mereka tetapi dengan sebab kejahatan dan kemungkaran yang dilakukan oleh mereka di dunia. Firman Allah dalam surah Al-Muddathir, ayat 42-47 :

42. (setelah melihat orang-orang Yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah Yang menyebabkan kamu masuk ke Dalam (neraka) Saqar?”

43. Orang-orang Yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk Dalam kumpulan orang-orang Yang mengerjakan sembahyang;

44. “Dan Kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

45. “Dan Kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara Yang salah, bersama-sama orang-orang Yang memperkatakannya;

46. “Dan Kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,

47. “Sehinggalah Kami didatangi oleh perkara Yang tetap diyakini”.

9-      Muslim yang melakukan jenayah dan dihukum dengan undang-undang jenayah syariah Islam akan diampun dosa mereka oleh Allah dan selamat daripada azab Allah di akhirat. Mereka dihukum di dunia yang singkat tapi bahagia di akhirat yang abadi. Apakah keadilan Allah di dunia dan akhirat tidak disedari oleh Mahathir ?. Mazhab Syafei, Ahmad dan Jumhur Ulama menyatakan bahawa sesiapa yang dikenakan hukuman Hudud di dunia, nescaya dosanya akan diampun dan penghapus daripada azab di akhirat. Dalam riwayat Muslim, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :

ومن أتى منكم حداً فأقيم عليه فهو كفارته

Maksudnya : “Sesiapa yang melakukan satu-satu kesalahan Hudud, kemudian dia dijatuhkan hukuman. Ia akan menjadi penghapus terhadap dosanya.”

10-  Media pro UMNO terus mempergunakan kenyataan Mahathir yang songsang ini untuk mengelirukan rakyat tentang keadilan undang-undang jenayah syariah Islam (Hudud dan Qisas) agar rakyat bukan sahaja menolak Hudud tapi juga parti yang memperjuangkan untuk menegakkannya, walaupun kenyataan Mahathir adalah batil dan  mencemari kemurniaan syariat Islam serta mempertikaikan ijtihad dan tulisan Ulama Islam yang muktabar.  Cukuplah dan bertaubatlah….Wallahua’lam

***Ustaz Mohd Nor Hamzah adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong dan juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu