Cubaan DAP Hakis Keyakinan Rakyat Terhadap PDRM

297

DAP selalu menyatakan ia menghormati kedaulatan undang-undang (rule of law). Malangnya, kenyataan terbaru Lim Guan Eng menunjukkan DAP sedang berusaha keras untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang.

Melalui kenyataan ini, Lim Guan Eng menyatakan wakil-wakil rakyat DAP dalam mesyuaratnya di Ibu Pejabat DAP pada malam 31 Oktober 2019 menegaskan :

(1) Mereka sangat tidak gembira dengan tindakan pihak berkuasa menggunakan SOSMA ke atas pemimpin-pemimpin kerajaan negeri DAP atas alasan-alasan yang tidak berasas (on unsubstantiated grounds).

(2) Mereka mempersoalkan mengapa tindakan ke atas wakil-wakil rakyat DAP diambil atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan sebelum 2018 sedangkan Kerajaan BN sebelum ini tidak mengambil tindakan ke atas mereka.

(3) Mereka mempersoalkan mengapa tindakan begini tidak diambil terhadap pemimpin-pemimpin BN sewaktu mereka berada dalam kerajaan sebelum PRU 14, di mana sesetengahnya didakwa “menyalurkan dana”.

(4) Mereka merumuskan bahawa kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan sama terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan BN yang sekarang ini menjadi pembangkang menimbulkan soalan mengenai wujudnya “deep state”.

Tindakan DAP menyifatkan penahanan dan pendakwaan ke atas pemimpin-pemimpin kerajaan negeri DAP atas alasan-alasan yang tidak berasas (on unsubstantiated grounds) adalah satu penghinaan terhadap keprofesionalan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Begitu juga dengan tindakan DAP mempersoalkan mengapa tindakan ke atas wakil-wakil rakyat DAP diambil atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan sebelum 2018 yang cuba mengelirukan rakyat kerana tuduhan utama ke atas wakil-wakil rakyat DAP adalah atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan pada 28 November 2018, selepas PH memerintah.

Tindakan DAP mempersoalkan mengapa tindakan begini tidak diambil terhadap pemimpin-pemimpin BN sewaktu mereka berada dalam kerajaan sebelum PRU 14, di mana sesetengahnya didakwa “menyalurkan dana”, adalah tuduhan yang berat. Jika pemimpin DAP tahu ada pemimpin BN yang “menyalurkan dana” kepada kumpulan pengganas LTTE maka menjadi kewajipan untuk mereka membuat laporan rasmi kepada PDRM, bukannya melemparkan tuduhan umum tanpa bukti.

Tindakan DAP merumuskan bahawa kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan sama terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan BN yang sekarang ini menjadi pembangkang menimbulkan soalan mengenai wujudnya “deep state” sekali lagi merupakan satu penghinaan terhadap keprofesionalan PDRM dan AGC.

Malah, tuduhan mengenai wujudnya “deep state” ini memberi implikasi yang besar kepada keutuhan PH sebagai sebuah pakatan kerana jika benar “deep state” ini wujud maka pastilah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diterajui oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin, juga bersekongkol dengannya.

Saya menggesa PDRM dan AGC khususnya supaya mengambil tindakan sewajarnya ke atas segala tuduhan DAP ini demi memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara.

Saya juga menggesa KDN, terutamanya Tan Sri Muhyiddin, membuat penjelasan segara mengenai dakwaan kewujudan “deep state” ini demi memastikan integriti KDN sentiasa terjaga.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus