Contohi Tokoh Istiqomah

552

Oleh : Nooreni Abu BakaR

DUNGUN – Anak muda seharusnya mencontohi tokoh-tokoh yang istiqomah walaupun perjuangan Islam ini tidaklah menjanjikan sesuatu yang indah kehidupannya di dunia.

Yang Di-Pertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang terharu dengan mereka yang telah bersungguh-sungguh mempertahankan kepentingan perjuangan.

“Bagi kita anak-anak muda yang baru mengenali perjuangan, lihatlah tokoh-tokoh lama kita ini walau bagaimana keadaan mereka uzur, dalam keadaan mereka sakit, dalam kehidupan mereka menghabiskan usia mereka, tetapi masih tetap istiqamah bersama dengan perjuangan, “ujarnya.

Ahli Parlimen Dungun itu berkata demikian di majlis Anugerah Tokoh Istiqomah PAS Kawasan Dungun di Masjid Lama Kampung Sura di sini pada 7 April.

Beliau mengingatkan agar jangan sekali-kali ahli – ahli PAS berpecah daripada perjuangan Islam,  kerana dengan keberadaan itu  mereka sentiasa di dalam bimbingan Allah.

“Tetapi kalau kita mula lari, maka ingatlah apa yang disebut, Allah kata “Kami akan serah kepada mereka urusan mereka sendiri”.

“Jadi apabila terlepas daripada tali ikatan dengan agama Allah dengan Rasulullah, dengan Al-quran, maka kita akan menjadi hanyut dan tidak dapat lagi bernaung di bawah keberkatan perjuangan,” tegasnya.

Ustaz Wan Hassan juga turut mengimbau kembali, Masjid Lama Kampung Sura yang bertanggungjawab memperkenalkannya kepada masyarakat.

“Saban minggu pada Jumaat dan selepas itu dalam kuliah-kuliah, banyak program perjuangan parti ini dianjurkan di sini, maka saya diperkenalkan kepada masyarakat.

“Sebab itu masjid ini ada hubungan rapat dengan saya selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun,” katanya lagi.

Sebelum itu, beliau telah menyampaikan anugerah Tokoh Istiqomah PAS Kawasan Dungun kepada lapan orang tokoh yang terdiri daripada empat muslimin dan empat muslimat yang mewakili DUN Paka, Sura, Rantau Abang dan Bukit Besi.

Acara kemuncak 60 Tahun PAS Kawasan Dungun, 100 Tahun Masjid Lama Kampung dan Kembara Israk Mikraj itu turut dihadiri ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun dan ADUN Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik.