Cita-Cita Jahat PH Mahu Merungkai Asas Bernegara

1107

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disifatkan bercita-cita besar dan jahat, mahu merungkai asas-asas bernegara di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, keberanian segelintir manusia politik semata-mata mahu melihat perpecahan umat Islam.

“Menerusi parti politik yang pelbagai, kemenangan mereka adalah kerana dasar pecah perintah yang mereka rencanakan.

“Umat Islam terpecah pada lebih lima parti. Tapi mereka (PH) semakin bersatu di bawah satu gagasan,” ujarnya dalam satu keyataan pasca Himpunan Bantah ICERD, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menegaskan, hasrat pemimpin PH dan perjuangan mereka adalah bertemakan ‘Malaysian Malaysia’ dengan menyamaratakan semua agama dan bangsa.

“Kesamarataan antara rakyat Malaysia dengan menghapuskan keistimewaan dan kedaulatan Islam dan Melayu yang dipersetujui bersama, ketika penubuhan negara,” ujarnya.

Beliau membidas, apa yang berlaku dan dilihat oleh rakyat sekarang kerana PH tidak memahami erti keadilan.

“Tetapi menperjuangkan kesamarataan, sedangkan kesamarataan dalam semua segi mengundang kezaliman dan ketidakadilan kerana ada hak yang akan direbut dan dihapuskan,” jelasnya.

Umat Islam Bersatu Membantah ICERD

Beliau menambah, himpunan yang diadakan Sabtu lalu, menjadi bukti sesungguhnya umat Islam boleh bersatu apabila ianya melibatkan kepentingan Islam dengan mengenepikan perbezaan parti.

Katanya, perhimpunan itu mencipta sejarahnya yang tersendiri dan telah melangkaui Himpunan Bersih, yang didakwa sebagai himpunan terbesar sebelum ini.

“Sejuta tahniah dikalungkan kepada peserta himpunan yang telah mengorbankan masa, tenaga dan harta demi memperjuangkan Islam dan nasib umat generasi terkemudian,” kata beliau.

Menurutnya, penyatuan pada 8hb Disember tersebut hanya mukaddimah dan permulaan yang baik juga kepada umat Melayu.

“Kesatuan ini baru bertunas dan perlu disuburkan., para pemimpin umat Islam perlu berani dan komited mengagaskan kesatuan umat Islam ini,” ujarnya.

Sehubungan itu Ahli Jawatankuasa Persatuan Anak Didik Ustaz Yahya, Surau Haji Abdul Rahman Limbong, Chukai, Kemaman, Mohd Rashimi Ramli menyifatkan perhimpunan ICERD bukan himpunan yang sia-sia.

Katanya, detik-detik perhimpunan itu telah dirakam oleh Allah dan menjadi saksi di akhirat kelak.

“Kita datang ke sini, bukan untuk mencari gaduh, kita datang ke sini bukan untuk menunjukkan kita hebat. Tapi kita datang ke sini untuk menegakkan agama Allah,

“Dan agama yang benar-benar diredhai Allah adalah agama Islam,” katanya dengan penuh semangat.

Beliau berharap agar perhimpunan hari ini dipandang besar disisi Allah, serta diganjari pahala, kerana semua yang hadir pada hari merupakan himpunan orang-orang yang beriman.