Cegah Penyalahgunaan Dadah Dengan Perkasakan Pendidikan Islam

513

Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN – Memperkasakan pendidikan sekolah dengan Islam merupakan formula terbaik dalam mengurus pelajar daripada terjebak dengan gejala negatif terutama penyalahgunaan dadah.

Ketua Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Ridhuan Mohd Yusof berkata, statistik yang dikeluarkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan penglibatan golongan terbabit semakin meningkat.

“Kerana itu elemen kesedaran perlu disuntik dan diberi perhatian yang serius.

“Oleh kerana itu pendidikan agama harus diberi penekanan dan menjadi teras utama kepada alam pendidikan, bukan dikesampingkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada ketika ditemui selepas hadir pada program ‘Muslim Young Camp’ peringkat Pemuda PAS Kawasan Bukit Besi, pada Sabtu 22 Disember.

Sehubungan itu katanya, Perdana Menteri Tun Mahathir telah mengecewakan rakyat kerana masih menganggap pendidikan agama tidak sepenting mata pelajaran yang lain.

Sedangkan kata Mohd Ridhuan, negara dalam keadaan ‘huru hara’ dengan masalah keruntuhan moral dikalangan pelajar.

Oleh itu beliau berkata, sudah tiba masanya pendidikan Islam dipertingkatkan, bukannya dikurangkan dalam kurikulum nasional.

“Saya yakin dan percaya, sememangnya menjadi kewajaran untuk setiap rakyat Malasia dan juga Tun Mahathir menyakini bahawa hanya ajaran Islam boleh membina kembali moral dikalangan pelajar.

“hanya dengan Islam sahaja yang relevan untuk mengurus manusia.

“Menekankan pendidikan lain semata-mata, maka kita akan ketandusan tokoh Islam yang hebat, akhirnya akan membawa pemimpin dimasa akan datang yang berjiwa liberal dan sebagainya, dan negara akan terus berada pada tahap yang merugikan,” tegasnya.

Oleh kerana itu menurutnya, PAS amat menitik beratkan program-program yang menjurus pada pembentukan akhlak dan sahsiah.

“Program seumpama ‘Muslim Young Camp’ ini akan dijadikan program tahunan, supaya masa cuti pelajar akan terurus dengan aktiviti berfaedah.

“Dan menjadi bukti betapa PAS begitu cakna kepada generasi yang merupakan pelapis di masa akan datang.

“Supaya mereka akan dapat berperanan dengan baik, menerajui kepimpinan dimasa akan datang sebagai pemimpin Islam,” tambah beliau.