Campurtangan Musuh Cuba Hapuskan Islam

920

MARANG – Campurtangan musuh dalam urusan negara dan umat adalah untuk melemahkan serta menghalang kebangkitan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ‘pakatan ahzab’ iaitu gabungan parti-parti yang didominasi oleh musuh Islam berpakat dan bersatu melawan Islam.

Namun katanya, Allah akan tetap memelihara agama Islam dan akan tiba masanya, umat Islam walaupun dilihat lemah pada hari ini, akan bangkit semula berkuasa.

“Akan balik semula memerintah dunia, oleh kerana itulah maka seluruh bala tentera bukan Islam(musuh Islam) campurtangan di Negeri Arab, campurtangan di Afghanistan dan mana-mana negara termasuk di kawasan kita (Malaysia),”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Dhuha mingguan, di Masjid Rusila, di sini, pada jumaat, 7 Jun.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kebangkitan Islam ialah janji Allahwalau pun pelbagai usaha kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka.

Katanya, di negara komunis seperti Rusia dan China, orang tua dibunuh dan membiarkan orang-orang muda sahaja, kerana mereka tidak percaya, Islam akan bangkit dari kalangan anak muda.

“(Namun) Negara China (kini) umat Islam 100 juta lebih ramai dari Malaysia yang hanya 20 juta sahaja. Di Russia, berjuta orang di Moscow berhimpun solat hari raya,” jelasnya.

Apa yang menakjubkan, kata beliau, walau pun ramai ulama dibunuh, kebangkitan Islam dikalangan anak muda semakin ketara.

Tambahnya, senario yang terjadi itu jelas menandakan bahawa Allah Maha Berkuasa dan tiada tandingan yang mampu mengalahkanNya.

“Ini memberi keyakinan dan menambahkan keimanan bahawa janji Allah itu benar, (maka) kalau ikut Islam, maka akan selamat dunia dan akhirat,” ucap beliau.