Butler Yang Pernah Dibela Ahmad Said, Akhirnya Mungkin DiTamatkan Kontrak

317
http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/rehatkan%20butler.jpg

Ahmad berkata, sebagaimana dilaporkan agensi berita Bernama, Butler akan membawa nafas baru kepada pasukan Terengganu yang sedang menghadapi masalah.

Bahkan beliau membela tindakan Butler, disebalik memihak kepada beberapa pemain Terengganu yang telah menerima padah akibat tindakan dari Butler.

Apabila Peter Butler terus ‘membuat onar’ Ahmad Said masih menyebelahinya dan Butler diminta untuk memimpin T-Team dengan berpendapat bahawa kononnya mencontohi sistem pengurusan kelab profesional dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ahmad Said berkata, kaedah ‘dua dalam satu’ itu adalah bagi memastikan pasukan T-Team diurus secara profesional dan calon berkenaan diberi tanggungjawab sepenuhnya tanpa diganggu oleh orang lain seperti sebelum ini.

“Pembaharuan ini, kami yakin pasukan T-Team akan kembali menyerlah pada musim akan datang,” katanya

Selang beberapa bulan selepas itu, tiba-tiba Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu Mohamed Sekanther Abdul Hamid meminta Ahmad Said memecat Butler dari melatih T-Team.

Mohamed Sekanther berkata beliau mempunyai beberapa alasan untuk meminta Menteri Besar berbuat demikian.

“Rakyat Terengganu merasakan T-Team di bawah Butler begitu malap sekali,” katanya ketika menuntut penyingkiran Butler sebagai jurulatih T-Team pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata apa yang memalukan ialah kedudukan T-Team dalam carta Liga Super di tempat ke-11 tanpa mencatat sebarang kemenangan setelah pusingan pertama berakhir.

Yang lebih membimbangkan lagi, katanya, T-Team akan turun ke Liga Perdana tahun depan sekiranya Menteri Besar tidak campur tangan dalam kemelut yang dihadapi pasukan itu.

Walau pun didesak oleh banyak pihak, termasuk bekas jurulatih T-Team, Badrul Hisham Abdullah, namun Ahmad Said mengambil apa-apa tindakan.

Akhirnya pada hari ini dilaporkan, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pasukan T-Team daripada Peter James Butler mulai hari ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu, Mohamed Sekanther Abdul Hamid berkata Chu Ku Marzuki, selaku penolong jurulatih, akan menggantikan Butler yang mungkin kontrak bersama T-Team ditamatkan.

“Kami telah berbincang bersama Butler dan telah mencapai kata putus mengenai perkara itu hari ini,” katanya.

Sekanther berkata beliau berharap kemelut dalam pasukan T-Team akan berakhir dengan perkembangan terbaru ini.

Selepas 17 perlawanan, pasukan T-Team kini menduduki tangga dua tercorot dalam saingan Liga Super dengan mengumpul 12 mata selepas mencatatkan tiga kemenangan, tiga seri dan kalah 11 perlawanan.