Bukit Harimau Menangis; Tarikan Baharu Peminat Sukan ‘Hiking’

1580

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Bukit Harimau Menangis berpotensi besar sebagai lokasi baharu aktiviti pendakian atau ‘hiking’ yang mampu mengamit kehadiran khalayak dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili juga berkata, lokasinya yang terletak berdekatan laluan utama, jalan raya dari Kemasik ke Pekan Air Jernih memudahkan peminat aktiviti rekreasi datang berkunjung.

“Tidak jauh dari Mesra Mall (pusat membeli-belah tersohor di sini), kira-kira 10 kilometer sahaja serta sangat mudah untuk diakses,” tegas beliau.

Sebelum itu, Ir Saiful Azmi Suhaili bersama kira-kira 400 orang pengemar sukan mendaki serta orang ramai memulakan pendakian sekitar pukul 08.00 pagi dalam Program Jom Hiking Bersama YB, di Bukit Harimau Menangis, di sini, pada hari Jumaat, semalam.

“Penyertaan sangat memberangsangkan, jangkaan awal kita hanya 100 orang sahaja yang akan mengambil bahagian, ada yang datang dari jauh, contohnya dari Kuala Terengganu, Dungun dan juga Cukai.

“Kita percaya dengan sambutan sebegini, ianya suatu petanda yang baik untuk lokasi ini bakal mengamit kehadiran ramai peminat sukan lasak dan juga orangramai datang beriadah bersama keluarga di sini.

“Ketika berada di puncak, dengan ketinggian 660 meter dari aras laut, kita dapat melihat keseluruhan Pekan Kemasik, Pantai Kuala Kemasik, Kampung Semayor, Kampung Cabang dan juga ‘boiler-boiler’ (dandang) di Kawasan Perindustrian Minyak Kertih,” kata beliau.

Ir Saiful Azmi juga mengharapkan pengunjung ke Bukit Harimau Menangis dapat mengutamakan soal kebersihan bila berpeluang ke situ.

“Banyak sampah-sarap ditinggalkan di puncak serta sepanjang denai laluan, perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

“Kita perlu memupuk usaha ‘ringan tulang’ di kalangan pendaki dengan tidak sahaja membuat sampah, malah mula bergerak untuk mengutip sampah,” ujar beliau penuh harapan.