Bukan senang nak lipat Mahathir

249

Heboh sekarang berkenaan isu samada mahu bersama Tun Mahathir atau tidak, bagi mengalahkan PH. Atau bahasa mudahnya ialah melalui pintu belakang atau pintu depan kah untuk kita melangkah ke Putrajaya. Memang mencabar dengan persoalan ini. Ianya bukan suatu yang mudah bagi ahli-ahli politik untuk memutuskannya.

Tun Mahathir dikenali sebagai seorang politikus yang hebat. Ia terpaksa diakui begitu kerana biarpun caranya tidak mengikut cara Islam, beliau masih menguasai politik bukan sahaja Malaysia, malahan dunia juga masih menyebut-nyebut namanya. Berbagai ragam dan rancangan yang beliau lakukan semasa berkuasa dahulu dan juga sekarang.

Tetapi untuk mencapai kejayaan itu, Tun tidak hanya duduk memetik jari begitu sahaja. Banyak hal-hal yang penting di belakang kejayaan beliau itu diperolehi kerana kepatuhan seluruh pasukannya kepada beliau. MCA, MIC dan parti gabungan BN yang lain, tidak menderhaka kepada beliau. Siapa yang melawan, akan dikeluarkan dari pasukannya.

Ia mengingatkan saya kepada satu cerita nakal sekitar tahun 90 an dahulu berkenaan kekuatan Mahathir menguasai menteri-menteri kabinetnya. Beliau memegang semua rahsia kekuatan dan kelemahan orang-orangnya, sehinggakan tiada siapa yang berjaya untuk mengalahkannya. Bukan setakat dari Umno, malahan dari parti-parti komponan BN juga.

Cerita itu konon dikatakan begini. Presiden MIC, Dato Seri Samy Vellu, telah pergi mengadakan lawatan ke India dengan disertai oleh pemberita-pemberita RTM. Setelah hari-hari terakhir lawatan beliau dan hendak pulang, RTM mengambil video beliau kerana diminta oleh Mahathir. Maklumlah, ketika itu mana ada WhatsApp, FB dan lain-lain medsos.

Kebetulannya, Samy Vellu sakit tekak dan tidak boleh bercakap. Tetapi Mahathir tetap suruh mengambil video secara langsung yang akan ditonton oleh beberapa menteri kabinetnya, bukan untuk tayangan umum. Maka duduklah menteri-menteri itu di hadapan TV, mahu melihat Samy Vellu mahu memberitahu apa-apa.

Kerana dia tidak boleh bercakap, diambilnya Samy seekor ayam dan ditunjuk-tunjukkan kepada para menteri. Maka semua menteri pun berfikir, apa yang mahu dibuat dengan ayam itu. Kemudiannya Samy menarik pula seekor kambing sambil ditunjukkan kepada menteri itu. Akhir sekali, setelah itu, dia mengambil dan menggalas sebuah beg beras di belakangnya.

Lagi kepeninganlah para menteri itu. Mereka cuba mengagak kehendak Samy itu. Kata Menteri Pertanian, agaknya dia nak adakan kerjasama pertanian dengan India. Kata Menteri Kebajikan, mungkin India kehabisan bekalan makanan dan meminta bantuan. Fikir Presiden MCA pula, Ling Liong Sik, mungkin Samy dapat baka baru binatang dengan benih beras dari India.

Ada yang meneka, mungkin Samy mendapat resepi macamana nak masak nasi beriani ayam dan kambing dari kawannya di India sana. Masing-masing terus berfikir apa maksud bahasa isyarat Samy Vellu itu. Agak lama mereka berusaha, tetapi gagal.

Akhirnya kerana tidak faham isyarat Samy itu, mereka semua berpaling kepada Mahathir dan bertanya apakah maksud sebenar isyarat Samy Vellu itu. Mahathir yang kelihatan tenang di atas kerusinya dengan bersahaja menjawab, Samy bagitahu, dia dah nak balik. Semua menteri kehairanan. Macamana begitu?

Mahathir ulang balik, Samy kata dia dah nak balik, I’m coming back. Ayam, kambing, beg, sebut dengan cepat, kata Mahathir. Semua menteri-menteri terlopong. Begitulah hebatnya Mahathir, sehinggakan bukan sahaja bahasa isyarat menteri-menterinya tetapi juga dengan ‘slang’nya sekali juga dia boleh faham dengan jelas. Jadi menteri-menteri pada zamannya semua faham yang bukan senang nak lipat Mahathir.

Harap janganlah ada pembaris pula yang baca, sebab banyak sangat aku kena buang pembaris baru ni. Ni cerita lawak dongeng tahun 90 an ya.

Mohd Nasir Abdullah
5 Februari 2020