Bukan Biasa-Biasa Tuan Guru Kami!

3269

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Sosok besar gerakan Islam ini kelihatan ceria diatas pentas utama Muktamar PAS kali ke 64, senyuman khasnya dilontarkan pada perwakilan dan pemerhati dan sekali sekali kelihatan beliau tak dapat menahan ketawanya . Pelbagai gaya dan komentar para perwakilan termasuk ocehan Pengerusi tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap Muktamar yang menceriakan. Pasca Muktamar Pusat, beliau terus menyambangi seluruh pelusuk tanahair dengan pelbagai program termasuk Ke Wilayah Istimewa Acheh untuk membentangkan pandangannya yang dinanti oleh masyarakat antarabangsa.

Pejam celik ,masa bergulir pantas berlari meninggalkan kita, rupanya hari ini ialah ulangtahun kelahiran Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang ke 71. Seluruh hidupnya diwakafkan untuk perjuangan Islam dan dakwah, beliau figura antarabangsa yang dimiliki oleh negara kita walaupun diterjang tanpa henti oleh pembencinya sepanjag zaman. Dia tak lelah menyampaikan ilmu dan pandangan , walau diseret di tasik kontroversi. Malah segelintir yang suka menghina dan memperlekeh tanpa mengetahui sejarah hebat lelaki berserban yang menjadi pemimpin utama PAS dan Naib Ketua Ulama Sedunia. Lelaki ini menjadi buruan lensa kamera dan memicu perhatian dalam dan luar negara.

Saat belahan negara Arab sedang dibadai fenomena Arab Spring, pandangan beliau dipinta oleh tokoh-tokoh besar gerakan Islam di Timur Tengah. Bagaimana harus untuk gerakan Islam memanfaatkan ruang untuk berpencak dipentas demokrasi persaingan kuasa, mengurangkan intriq antara pesaing dan juga memicu perubahan dalam ruang demokratik yang dibenarkan. Ikhwanul Muslimin akhirnya menubuhkan sayap politiknya , FJP serta berjaya mengadakan pemuafakatan politik dengan parti-parti yang lain. Nasihat Sheikh Abdul Hadi umpama ketulan-ketulan emas pengalaman yang sangat bernilai kerana PAS yang dipimpin oleh beliau telah memasuki dekad ke tujuh bertarung di medan persaingan kuasa.

Tokoh sesepuh perjuangan ini telah mengharungi samudera panjang perjuangan sehingga mendapat pengiktirafan dunia, beliau berkejar ke Kabul Afghanistan pada tahun 1989, sebaik sahaja Russia angkat kaki daripada bumi kontang bergunung ganang Afghanistan. Mujahidin yang pelbagai jalur itu disaran untuk menguruskan perbedaan dengan baik kerana Afghanistan memasuki fasa untuk dibina kembali negara bertunjangkan Syariat Islam.

Beliau juga hadir ke Baghdad pada tahun 1990 untuk bertemu Saddam Husain dan menyampaikan nuansa dan aspirasi gerakan Islam dunia tentang sikap dan peranan Iraq dalam konflik Timur Tengah yang mengheret Perang Teluk. Sheikh Abdul Hadi juga menjadi mediator dalam menguruskan konflik di Acheh, sehingga Gerakan Acheh Merdeka bersetuju untuk memilih jalan damai. Begitu juga konflik di Yaman dan beberapa negara Umat Islam yang lain, jasa beliau terserlah sebagai tokoh pendamai dan juga menelurkan idea-idea yang baik untuk umat Islam

Apabila berlaku transformasi kepimpinan PAS pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai pemangku Naib Yang Di Pertua PAS Pusat. Era kepimpinan ulama ini terus menyaksikan PAS disuburi dengan program amal tarbawi, harakatul ummah ini terus merimbunkan jihad pendidikan dengan menubuhkan banyak institusi pendidikan bermula dengan pendidikan pra sekolah PASTI, sekolah-sekolah Islam. Tuan Guru bersama teman-temannya telah menubuhkan maahad Darul Quran Rusila Terengganu pada tahun 1985, sebuah sekolah kaderisasi terbesar PAS.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (dipanggil Sheikh Abdul Hadi di luar negara) dilahirkan pada 20 Oktober 1947 di Kampong Rusila, sebuah perksmpungan nelayan yang terletak bberhampiran Bandar Marang, Terengganu yang mana ayahnya Tan Guru Haji Awang merupakan seorang ulama’ tempatan dan aktivis politik yang dikeensli ramai di Terengganu. Beliau merupakan anak ke lima dari sembilan orang adik beradik dan dibesarkan di dalam asuhan agama yang kuat daripada ayahnya sendiri. Haji Abdul Hadi mula memasuki alam persekolahan pada tahun 1955 di Sekolah Kebangsaan Rusila dan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Agama Marang dan Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (SMUZA).

Bakat dan kecemerlangan akademiknya telah dikesan semenjak beliau di bangku persekolahan lagi di mana kemudiannya beliau dtawarkan dengaan biasiswa Kerajaan Arab Saudi untuk menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Unversiti Islam Madinah. Haji Abdul Hadi telah melanjutkan pelajarannya ke peringkat sarjana dalam bidang Siasah Syariah di Universiti Al Azhar, Mesir dan tamat pengajian pada tahun 1976. Rakan-rakan pelajar Malaysia yang sezaman dengan beliau telah mengesahkan minat mendalam Abdul Hadi kepada ilmu dan budaya membaca. Beliau kembali ke tanahair dan terus terlibat dengan aktif dalam bidang pembinaan kader-kader dakwah dan juga pengkuliahan, kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti negara ini dengan pantas menyambut ulama muda ini sebagai ikon kebangkitan Islam Malaysia. Sheikh Abdul Hadi menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu dan juga Pengerusi ABIM Terengganu, sebuah gerakan sosio politik anak muda yang ditubuhkan pada tahun 1971.

DI PERSADA LEGISLATIF

Sheikh Abdul Hadi Awang, memenangi Parlimen Marang pada tahun 1990, seterusnya dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 apabila PAS berjaya menawan kembali Terengganu. Terengganu dengan sejarah pendidikan Islam yang gemilang dalam abad 19 dan awal abad 20 , disambung kembali legasi itu oleh kerajaan PAS Terengganu yang dipimpin oleh anak didik almarhum Sheikh Said Hawwa.

Tuan Guru telah empat dekad menjadi ADUN di Rhu Rendang, menyemai bakti pada masyarakat sehinggalah PRU ke 14, beliau melepaskan kerusi ini kepada Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Beliau menggilap permata dan pembina generasi yang ulung di negara ini, maka tak pelik sosok ini dicintai oleh anak-anak muda generasi haraki negara ini.

KOMITMEN ANTARABANGSA

Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga telah dipilih menjadi ahli Majmak Taqrib Mazhab Islami yang berpusat di Tehran, Iran. Beliau menyertai rombongan parti-parti Islam ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dipimpin oleh Dr. Najmudin Erbakan, bekas Perdana Mentteri Turki pada tahun 1990 untuk berbincang dengan Setiausaha Agung PBB Butros Butros Ghali dalam usaha menyelesaikan krisis Teluk. Beliau juga pernah bersama pemimpin gerakan Islam yang lajn dijemput oleh Saddam Hussein ke Baghdad semasa krisis Teluk berlaku. Saddam ingin memperoleh sokongan umat Islam dalam krisis Teluk yang dicampuri oleh Amerika.

Pada tahun1994, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gerakan Islam yang berpusat di Istanbul, Turki. Beliau juga sentiasa di undang untuk menghadiri Ijtima’ Am yang dianjurkan oleh Parti Islam Pakistan (Jamiat Islami) dan juga gerakan Islam di Indonesia seperti Parti Keadilan Sejahtera, Partai Bulan Bintang, Dewan Dakwah Islamiah Indonesia dan sebagainya.

Beliau pernah menyampaikan ucapan-ucapan di Seminar Mukamar Antarabangsa Perpaduan Umat Islam Dalam Menghadapi Masalah Bosnia Herzegovina di Tehran pada tahun 1995. Bosnia ialah negara di Balkan yang menyaksikan penyembelihan dan pembantaian umat Islam beramai-ramai oleh etnik Serbia, ratusan ribu telah menjadi korban keganasan militia Serbia. Perang ‘salib’ zaman moden ini mmengundang rasa simpati yang besar kepada umat Islam Bosnia yang dalam rakaman sejarahnya pernah bernaung di bawah Khalifah Uthmaniah Turki selama beberapa dekad.

Tuan Guru juga pernah mewakili PAS ke Muktamar Pertubuhan-Pertubuhan Islam Sedunia Ke 5 di Istanbul pada tahun 1996. Turki menjadi tuan rumah sidang tersebut dalam suasana kebangkitan Islam mula menyimbah negara yang pernah menyimbah negara yang pernah menjadi matahati umat Islam itu sehinggalah tumbangnya khilafah pada tahun 1924.

Tuan Guru dari masa ke semasa di undang ke luar negara untuk menghadiri pelbagai persidangan, seminar, ijtimak gerakan Islam di luar negara. Wajahnya juga pernah muncul di kaca TV seperti stesen TV ‘al Manar’, ‘al Jazeera’,dan sebagainya, mengupas pelbagai isu dan topik mengenai Islam dan dunia Islam. Semoga Allah memberkahi umurmu untuk terus memimpin kami menggapai redha Ilahi. Selamat menyambut ulangtahun harijadi Ayah Chik ke 71.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik PAS Pusat)