Buat ADUN DAP Dan Seluruh Pembenci PAS

310

Hati saya cukup terhiris dengan usaha berterusan mewajahkan PAS sebagai anti nasional, anti perpaduan kaum, etnosentrism , tidak mewakili kepelbagaian kaum, rasis dan mewabak talibanisasi. Gerakan Islam cum gerakan dakwah ini telah 36 tahun berada dibumi Sabah yang mempunyai kerencaman etnik dan 69 tahun berada di Malaysia sejak tahun 1951. Parti kami didaftarkan sebagai parti politik oleh Dr Abas Alias pada tahun 1955 dengan bantuan kerani pejabat Pendaftar Pertubuhan yang berbangsa India yang secara peribadi terhutang budi pada kebaikan Dr Abas semasa pendudukan Jepun di Malaya.

Ramai figura politik yang mengambarkan perlantikan ADUN lantikan daripada PAS seolah mengundang malapetaka kepada keharmonian kaum di Sabah,sangat dangkal sekali!, seperti mengatakan Donald Trump adalah alumni Pondok Pasir Tumbuh Kelantan. Antara yang membesarkan isu lantikan ADUN PAS Sabah ialah Merujuk kenyataan YB Jannie Lasimbang yang menyatakan, “Appointing PAS into the Sabah State Assembly is very concerning”. Mungkin YB Jannie tidak pernah membaca sejarah PAS daripada kacamata yang jernih dan naratif yang penuh kebencian pada golongan agamawan.

Sejarah tak mampu berbohong pada langitnya yang indah, awan kebenaran mengapung bukti-bukti putih dengan langit kurmuzi merakamkan catatan PAS sentiasa membawa mesej perdamaian bahkan menjauhi sifat taksub kaum. Parti ini pernah mempunyai pemimpin seperti Kamal Koh, Kamal Liang , Redhuan Daniel Onn dan lain-lain nama bukan Melayu. PAS menubuhkan CCC ( Chinese Consultative Council) dalam dekad 80an dahulu. Penceramah PAS berceramah di tokong dan Kuil malah ideologue PAS seperti Prof Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan PAS menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu sejak tahun 1960an. Namun PAS merealisasikan cadangan ini kemudiannya dengan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS pada 23 Mei 2010 ( sebelum ini dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS pada tahun 2004). DHPP menjadi matarantai yang menghubungkan PAS dengan pelbagai kaum di negara ini.

Ada kalangan mereka yang bertanding dalam Pilihanraya, walaupun kalah namun tetap menyumbang kepada perjuangan PAS, mereka tidak lari untuk mencari kesenangan tembolok dan pelbagai tarikan pesona yang lain. Menarik juga ramai kalangan mereka mempunyai sijil daripada ILHAM, dengan erti kata lain bersungguh-sungguh mereka ingin memahami tentang Islam dan perdamaian.

DHPP kini turut mewakili suara PAS dalam Dewan Negara dengan perlantikan Balasubramaniam Nachiappan sebagai Senator, ramai pimpinan DHPP menjadi sosok pendamai dan penghubung antara kaum antara kerajaan dan PAS. Antara mereka seperti Dr Balachandran Gopal Krishnan didalam kerajaan Terengganu, Cikgu Lau Chin Chua dalam kerajaan Kelantan , Cik Kumutha Raman dalam Kementerian Pembangunan Wanita dan ramai nama yang lain lagi membantu kerajaan . Ada yang berkhidmat dalam pejabat MP , menjadi pengerusi MPKK, penghulu tanpa mukim ,Pegawai Khas dan lain-lain jawatan .

Ohh, untuk pengetahuan YB dan kawan-kawan YB juga ,PAS sudah ada ramai mempunyai ahli DHPP daripada kalangan penganut agama Hindu, Sikhism, Buddha , taoism , Kristian, paganisme dan lain-lain agama serta anutan daripada seluruh tanah watan ini. Penyokong PAS bukan Islam ini melihat PAS adil dalam memayungi rakyat negara ini, terbukti dengan tiga dekad memerintah Kelantan. Semasa tragedi 13 Mei 1969, setitik pun darah orang Cina tidak tumpah di Kelantan,mengapa YB?. Jawabannya kerana Islam mengajar kami perdamaian dan toleransi sesama insan walau berbeda agama.

Sebagai sebuah organisasi massa yang bukan sahaja berkarektor parti politik, PAS ada pendidikan prasekolah yang tersendiri , setiap hari ada anak-anak berbangsa India , Cina, kadazan,Iban, Kenyah ,Murut, orang asal dan lain-lain yang datang belajar di PASTI milik kami. Kami tidak memaksa dan mendesak,namun kebaikan tak mampu disembunyikan . Asimilasi budaya sangat hebat di Kelantan dan Terengganu,kaum bukan Melayu bertutur dengan fasih dapam bahasa Melayu bahkan makan budu dengan jelira sekali. Oh, untuk maklumat YB juga seorang mantan pimpinan MCA semasa dibangku sekolah dahulu pernah pendapat biasiswa daripada kerajaan PAS Kelantan. Ironi sekali, jika PAS dituduh ekstrem dan anti masyarakat majmuk

Parti kami bukan parti para malaikat namun orang-orang yang baik dan berjiwa tenang suka bersama kami, antaranya mereka suka menyumbang dan membantu orang yang dilanda kesusahan. Kami juga ada Jabatan Amal, berpakaian warna merah merun. Jika ada musibah dalam negara mereka adalah perwira tak didendang, membantu sesiapa pun yang susah tak kira berbangsa India , kadazan, Cina, orang asal . Semuanya akan tersenyum dibantu tanpa sebarang tagihan upah dan tandajasa.

Parti kami sangat terbuka sifatnya, mungkin kerana ramai ilmuan bersama kami contohnya ADUN lantikan di Sabah, Dr Ali Akhbar Ghulasan. Ada ribuan pemegang ijazah PhD yang mendokong dan menyokong PAS, mana mungkin dengan keanggotaan kelompok ilmuan dan terpelajar ini ,parti kami menjadi sempit dan melulu. Sebab itu PAS terbuka dengan kritikan dan wacana, dibuat kajian oleh ramai saintis politik seperti Funston, Mailne, Mauzy, Bridget Welsh dan lain-lain nama besar akademisi. Tuan Guru Presiden PAS seorang ilmuan tahap dunia bukan semata-mata melakar aksara tetapi merealisasikan tulisan beliau dengan berdialog dengan Archbishop Katolik, Persatuan Hindu Sanggam ,kelompok Liberal , kumpulan anti hadith serta pelbagai NGO multi agama. Presiden kami juga bermenantukan seorang gadis Tiong Hua , cukup kontradik dengan apa yang YB bimbangi.

Cukuplah dahulu dengan sekelumit jasa PAS dalam membina keharmonian negara ini. Kami orang baik yang mematuhi suruhan Tuhan dan ajaran Nabi kami. Islam itu salama,selamat dan sejahtera maka damailah tanah leluhur ini jika dipayungi dengan agama yang harmoni ini. Elok jika YB Jannie Lasimbang dan teman-teman YB dapat menekuni sejarah panjang Islam dan perdamaian .

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)