Briged Muslimat ‘Duta’ PAS

821

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Briged Muslimat mempunyai tugas yang besar dan penting bukan sahaja menjaga keselamatan dan kebajikan anggota, tetapi juga menjadi ‘duta’ kepada Parti Islam Semalaysia (PAS).

Ketua Briged Muslimat negeri Ida Haryati Ali berkata, mereka adalah salah satu entiti yang membawa imej kepada parti PAS.

Katanya, Briged Muslimat ditubuhkan pada tahun 2010 dan ianya di bawah Dewan Muslimat PAS.

“Jangan kita anggap kita tugas briged sahaja sebenarnya hakikatnya kita adalah duta kepada PAS. Besarnya peranan kita.

“Contohnya masa kat Fastaqim dan Ijtimak kat Rusila kita menerima banyak orang yang berminat dengan briged,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Rehlah bersama Ahli Briged kawasan Kuala Nerus di Perkarangan Masjid UNISZA pada Jumaat, 8 Februari.

Oleh itu katanya, briged mesti pandai menjaga ikhtilat semasa bertugas bersama muslimin.

“Orang yang pakai briged ini kemas pakaian (dengan) ada vest dan pandai jaga ikhtilat (semasa) bertugas dengan orang laki dia tahu batasnya. Kita tugas dengan lelaki bukan boleh gurau-gurau.

“Sebab itu bila kita menyarung baju briged bukan sekadar pakai untuk kita tapi bawa imej PAS,” jelasnya.

Justeru itu, beliau berharap agar ahli briged yang penting ikhlas melakukan sesuatu perkara tanpa sebarang ganjaran di dunia.

“Kalau boleh kita tak nak cakap dimulut sahaja, kita zahirkan dengan perbuatan. Maksudnya kita kata kita betul-betul ikhlas macam mana dari segi perbuatan kita.

“Dan apa yang kita buat nak bantu Jemaah dan mencari redha Allah,” tambah beliau lagi.

Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah Briged Muslimat Malaysia, Nuri Muhammad.