BPMS Sudah Lama Diamalkan ADUN PAS Terengganu

715

Oleh : Suhaimi Taib

Kembali menjeguk perkembangan politik Terengganu, sehingga kini Umno tidak banyak menyerang PAS negeri itu, tidak seperti zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi menteri besar sekitar tahun 1980-an. mungkin kerana ketika itu tidak ada pendekatan strategik bagi melihat keperluan mempraktikkan politik matang dan sejahtera secara terancang di peringkat PAS Pusat.

Bagaimanapun amalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dilaksanakan secara ‘senyap-senyap’ melalui Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di kalangan pengundi mereka sebagaimana dijelaskan oleh Haji Mohd. Abdul Wahid Endut, ADUN Wakaf Mempelam ketika diwawancarakan HarapTV baru-baru ini.

Menurut ADUN itu, amalan berkenaan menjadi gerakerja berterusan mereka dengan mendekati pengundi tanpa mengira kefahaman politik mereka.

Apabila menang pilihanraya, ADUN menjadi wakil rakyat bukan sahaja kepada pengundi yang memilih beliau dalam sesuatu pilihanraya atau sebaliknya.

Mereka bertanggungjawab kepada semua pengundi dan penduduk di kawasan dimenangi mereka.

ADUN itu secara terbuka mendekati mereka dan merasai sendiri susah senang kehidupan mereka dengan cara menemui mereka di mana sahaja mereka berada.

Termasuk, menziarahi penduduk di hospital, menziarahi keluarga yang kematian ahlinya, berusaha mengatasi masalah kebajikan dan keperluan sosial penduduk setempat.

Mereka bersuara di setiap kali persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) dalam apa-apa kesempatan bangun berucap menurut ketetapan dan peraturan dewan berkenaan.

Kebajikan itu berkait dengan kepentingan orang ramai termasuk, parit dan saliran, jalan kampung, lampu jalan dan sebagainya.

Di DUN Batu Burok sebagai contoh, pernah ADUNnya, Dato’ Haji Wan Abdul Muttalib Embong, mencadangkan kepada DUN Terengganu, supaya membina perparitan sepanjang tidak kurang dari tiga kilometer merentasi beberapa buah kampung di Chendering, bagi tujuan mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di situ.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Tan Sri Wan Mokhtar ketika meluluskan projek berkenaan dan dilaksanakan jayanya sehingga masalah banjir hampir di atasi sepenuhnya.

Cuma disebabkan pembangunan yang tidak seimbang pernah berlaku banjir kecil di Kampung Binjai berhampiran sempadan Daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Ini berlaku apabila pembangunan baharu di kampung tersebut telah menyebabkan takungan air hujan ketika tengkujuh di kawasan lembah berhampiran.

Struktur tambunan tanah bangunan baharu yang lebih tinggi, menyebabkan banjir itu terjadi. Akibatnya beberapa keluarga dari kampung berkenaan dipindahkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Chendering, Kuala Terengganu beberapa tahun lalu.

Kerajaan perlu bertindak lebih awal supaya perancangan pembangunan yang dibuat tidak membawa akibat buruk terhadap penduduk setempat seperti yang berlaku di kampung berkenaan.