Bob Lokman, Menyulam Takdir Dan Pasrah!

475

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

“Ayah masuk ICU pagi ini” ringkas pesanan daripada anakanda Bob Lokman pada saya ,dua hari lepas. Saya menarik nafas dalam dan menatap kosong pada lelangit rumah, ujian pada anak seni itu besar pada kali ini. Ini kali ketiga dalam tempoh sebulan beliau dikejarkan ke Hospital UITM Sungai Buluh. Kami sentiasa berhubung dan juga bermusafir bersama, malangnya saya kerana Bob kerap ditimpa sakit selepas menghadiri program yang saya aturkan di Terengganu.

Bulan lepas ,beliau menghadiri program tamrin qiadi di Besut, mengisi program ihtifal kelima tahfiz an Nur Setiu. Paling akhir di masjid lama Permatang Badak, dia tidur dalam kereta mercedes buruknya sebelum berforum subuh. Tiada sungutan bila ada panggilan dakwah kemana sahaja, kampung terpencil di pedalaman, pulau-pulau atau setinggan . Bob Lokman bukan sahaja mudah berkira ,namun memahami apakah tugas manusia sebagai khalifah diatas muka bumi.

” ana terlebih minum air hari ini dan ini tidak baik untuk paru-paru ana,namun jika kurang air akan ada masalah pada buah pinggang ana..” balas Bob perlahan, bila ditanya kondisi kesihatannya.

Pulang daripada pgram di Terengganu, beliau dimasukkan ke hospital Sungai Buluh kerana komplikasi paru- paru, jantung. Dia bergantung pada alat bantuan pernafasan, pergerakannya mulai terhad, kelihatan mengah dan penat. Canda dan tawanya mulai suram , dia mengingatkan saya tentang kematian lewat balasan aplikasi wassap beliau ” ana ingatkan anta , nyawa kita di celah-celah kehidupan”.

Teman-teman aktivis terus menziarahi Bob dan berita keuzuran anak seni ini dengan pantas berjangkit di alam siber. Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al Kenali dengaan nekad telah meninggalkan kerlipan industri hiburan dan menyertai PAS dalam himpunan 30k Pemuda Pas di Alor Setar.

Namanya tetap menggunguli pentas ceramah PAS, berbekal bakat dibidang pengacaraan yang beliau puluhan tahun ceburi selamaa ini. Bob adalah alumni Maahad Hamidiah Kajang, pernah membesar di Pondok Tok kenali kubang kerian, juga merupakan cicit Tok Kenali dan cucu Tuan Guru Haji Ahmad Bangkok. Bakat berdakwah ada dalam darahnya dan beliau juga merupakan anak saudara almarhum ustaz Mawardi Ahmad, bekas ADUN Lundang.

Beliau semenjak berhijrah daripada alam selebriti terus menjadi pentaksub ilmu, menghadiri majlis ilmu, berusrah serta turun menjelajahi negara untuk berkongsi pengalaman. Bob juga berusaha untuk menarik kawan-kawan artis untuk menyokong PAS seterusnya berhijrah ke alam fitrah. Rumah beliau di Sungai Buluh sering menjadi tempat berusrah serta majlis silaturrahim.

Semenjak Bob jatuh sakit, aktivitinya terhenti dan ini sedikit sebanyak kondisi ekonomi juga terjejas. Biaya hospital UITM juga melepasi ratusan ringgit setiap hari dan kita sebenarnya tak cukup hanya melontar simpati . Isteri Bob tidak bekerja dan saya terkenangkan Bob yang turut berjualan kacang semasa beliau berceramah. Saya merayu teman- teman aktivis untuk menjenguk Bob dan membantu meringankan beban beliau kerana sewaktu jasadnya sihat kita memanfaatkan bakat dan popularitinya.

“Bob..lepas ini kalau keluar hospital,kena ambil masa berehat” saya memberikan cadangan sambil memandang tepat wajahnya yang agak pucat di katil hospital.

“ohhh,,keluar hospital ,,ana nak terus berjuang…pilihanraya semakin hampir…kalau nak pergi mengadap Tuhan,biar selepas itu” tukas Bob pantas dan saya tidak melihatnya bercanda , kerana itulah Bob yang saya kenal dalam medan amal Islami ini. Kerana kekurangan rehat dan jadual yang padat juga menyumbang kepada sakit yang dialami Bob Lokman. Moga Bob sembuh dan akan kembali beraksi menarik anak-anak muda kepada perjuangan Islam.

Mata saya juga melirik kepada anaknya Rayyan , yang mengunyah sambil memegang ponsel beliau. Bob kini terlantar sakit,jasanya besar pada dakwah dan perjuangan, jika tak sakit tempatnya bukan di rumah,tetapi menyambangi seluruh negara untuk berdakwah dan melakukan kerja-kerja kebajikan. Bob antara relawan Muslim Care yang aktif, Timbalan Pengerusi LESTARI PUSAT. beliau tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap dan masih mempunyai tanggungan.

Untuk teman-teman yang ingin menghulurkan bantuan kepada Bob Lokman, boleh menyalurkan kepada akaun isteri beliau:

4416206406 public bank. Relawati Daud

(Penulis ialah Pengerusi LESTARI PUSAT, pendakwah dan penulis)