Bina Negara Dengan Keadilan Pemerintahan

282

Oleh :  Aziz Hambali

KUALA TERENGGANU – Rakyat Malaysia perlu sedar, pembinaan negara hanya dapat dicapai dengan keadilan pemerintahan yang ditegakkan  bersama  memakmurkan bumi dengan petunjuk  Allah S.W.T.

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata bukan hanya dengan membina bangunan-bangunan atau kehebatan tamadun sahaja, sedangkan rakyat dizalimi dan ditindas.

“Kerajaan manusia walaupun memiliki segala kehebatan, menakluk dunia tetap tidak berlangsung selamanya, sebaliknya yang kekal adalah Kerajaan Allah S.W.T.,” terang beliau.

Beliau yang menerangkan demikian di dalam sesi dialog bersama warga Malaysia  dalam program “An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang” di Dublin, Ireland yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial,  pada 24 Disember.

“Tuhan menunjukkan Kerajaan Nabi Sulaiman, Zulkarnain dan Nabi Daud semua dilenyapkan tanpa meninggalkan tanda.

” Bukan bermakna Nabi Sulaiman tiada pembangunan, baginda boleh guna bantuan jin untuk pembinaan, ” katanya

Sebaliknya, tambah Ahli Parlimen Marang itu lagi, Kerajaan Firaun, Namrud, Tsamud, China dan lain-lain tamadun ada meninggalkan kesan.

“Allah Taala tinggalkan kesan tamadun Tembok Besar China, Piramid di Mesir, pengkaji Barat kagum kehebatan tamadun itu.

Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bergambar bersama di antara warga Malaysia yang hadir di majlis tersebut.

“Mereka tidak baca berapa juta rakyat mati untuk buat Tembok Besar itu yang dibina atas kezaliman menindas rakyat, ” sinis beliau.

Beliau turut memberitahu, Malaysia adalah negara yang kaya dengan hasil buminya, selain tenaga manusia terdiri dari pelbagai bangsa dan budaya, di mana jika diadun sebaiknya akan jadi kuasa ekonomi yang sangat hebat.

” Namun, sebaliknya terjadi, apabila penduduk pribumi dalam keadaan ketinggalan di mana walaupun 65 peratus rakyat adalah Muslim, tetapi 80 peratus ekonomi dikuasai oleh kaum bukan Islam,”  ujarnya.

Tambahnya lagi, hal tersebut terjadi kerana warisan dan acuan peninggalan penjajah yang telah menyusun sedemikian, membawa pendatang menguasai kedudukan strategik ekonomi, sedangkan orang Islam dipencilkan.

“Keadaan penyusunan yang tidak selaras di mana hasil dari Pantai Timur yang banyak, tetapi industri dan pelabuhan dibina di Pantai Barat,” katanya

Katanya, Singapura yang mengeksport ke luar negara hasil kayu, buah-buahan dan sebagainya, sedangkan negara tersebut tidak memiliki sumber sedemikian.

“(Malaysia) ada macam-macam, kaji, tapi kajian tak turun ke bawah, ini berlaku, bahkan banyak cerdik pandai, (mereka) balik tak dimanfaatkan, dengan sebab itu ramai yang kerja luar negara.

“Sepatutnya sekarang pasca teknologi, pakar-pakar ini (dimanfaatkan), tetapi kerana pengaruh politik tidak sihat masuk, (sampai) universiti pun lantik Naib Canselor kira politik juga,” ujarnya.