Bina Kekuatan Generasi Pelapis, Cakna Ehwal Wilayah

289

Oleh NAZIHAH KHAN

KUANTAN: PAS perlu membina satu generasi yang mampu menjamin kedaulatan negara juga kepentingan negara berjiran.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sesebuah negara mesti menjamin jiran negaranya daripada ancaman.

Malah katanya negara perlu membela hubungan baik dengan semua negara jiran yang ada di sekitarnya.

“Tengok jiran kamu sebelum kamu membuat rumah. Inikan pula negara.

“Namun kebijaksanaan kerajaan yang menguruskan negara dengan penuh cermat menjadikan negara tidak dicerobohi oleh jiran negara lain,” ujarnya semasa merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke 60 di sini pagi ini.

Menurut beliau, dalam masa yang sama saling hormat menghormati hak dan kesejahteraan negara.

“Kita berpegang teguh dengan konsep ZOPFAN iaitu Zone of Peace, Freedom and Neutrality bermaksud kawasan yang aman dan selamat dalam rantau Asia negara,” tambah beliau.

Selain itu kata beliau, PAS melihat perlunya diwujudkan suasana kedamaian antara Amerika dan China yang berlaku baru-baru ini.

Pada waktu yang sama katanya, PAS perlu mengekalkan rantau ini sebagai rantau yang aman.

Sehubungan itu seru beliau, PAS perlu mengurus negara dengan penuh cermat.

Ini kerana tegas beliau, politik bukan sahaja untuk mendapatkan kuasa tetapi penting bagaimana mengurus kuasa tersebut.

Sementara itu tambahnya, muafakat dalam politik bukan benda yang baharu dalam PAS kerana parti ini telah mengadakan kerjasama politik hampir dengan semua parti yang ada di Malaysia.

“Kita mengadakan kerjasama dengan Umno, Parti Keadilan, DAP dan juga bersama parti-parti lain.

“Ini bermaksud PAS bukan parti yang bersikap inklusif yang tidak bercampur dengan parti lain dan sedia membuka ruang tetapi kita berpegang pada prinsip bahawa kita mesti dihormati untuk terus bergerak ke hadapan,” tambah beliau.