Bila Pan ‘Berfatwa’……

812

Satu Malaya dah pun tahu, apabila Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong mendedahkan terdapat satu isu berkaitan dengan Kementerian Pertanian, yang didakwa beliau, telah menarik balik kontrak daripada kontraktor yang telah berjaya memenangi bidaan satu projek membekalkan input pertanian sektor padi. Katanya jumlah keseluruhan yang diperuntukan kepada projek ini ialah sebanyak RM1.4 bilion. Ia satu jumlah yang besar, pastinya lebih besar dari jumlah RM90 juta.

Bukan setakat itu sahaja, kontrak itu kemudiannya diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) iaitu satu secara runding terus, sedangkan dahulunya PH berjanji mahu menghapuskan cara pembahagian kontrak seperti itu. Lebih dari itu, Wee juga menunjukkan surat Menteri Pertanian kepada Perdana Menteri, sebagai bukti. Dan sejumlah wang NAFAS didakwa telah digunakan untuk menyewa sebanyak 38 buah bilik hotel di sekitar Tanjung Piai, bersamaan dengan tarikh PRK Tanjung Piai, untuk penginapan ahli politik PH.

Ia didedahkan di dalam Parlimen dan Datuk Wee meminta Menteri Pertanian, Datuk Salehuddin Ayub sendiri yang menjawabnya pada hari Khamis lalu. Namun, Salehuddin gagal hadir pada waktu yang ditunggu oleh Wee. Segera tular kisah ini dan menimbulkan reaksi yang sangat mengecewakan oleh rakyat marhaen, golongan yang dijanjikan PH untuk dibela selepas menang PRU lalu. Berbagai kritikan dan kecaman yang diluahkan oleh mereka atas berita ini. Khabarnya laporan kepada SPRM, sudah dibuat.

Maka, bangunlah dua tiga orang Ahli Lembaga Pengarah NAFAS, cuba mempertahankan diri. Diulang-ulang ayat yang sama pada FB mereka mendakwa mereka tidak melakukan penyelewengan. Paling memualkan, mereka menyerang pula orang lain. Kata mereka, NAFAS mempunyai lebih 900 ribu ahli orang Melayu. Memberikan kontrak kepada orang lain, bermakna mengambil hak orang Melayu. Sedangkan syarikat lain, tidak akan memberi manafaat besar kepada ahli.

Kemudian diuar-uarkan pula yang tindakan mereka ini sama seperti kempen BMF. Sedangkan semua orang tahu bagaimana bencinya PH terhadap kempen itu, sehingga Exco Perak dari keturunan parti mereka, mengeluarkan arahan untuk tidak diadakan sebarang kempen BMF di perkarangan masjid kerajaan di Perak. Pada suatu ketika lain pula, mereka menyebut NAFAS juga dianggotai oleh sejumlah ahli bukan Melayu Islam. Entah mana satu betul.

Tidak berhenti setakat itu, silat mengelak mereka ditarikan lagi, kali ini dengan bunga alasannya ialah, antara ALP NAFAS, ada lima orang Umno, dan PH ada enam. Tetapi jika difikir lojik, kalau mengundi, majoriti, siapa yang menang agaknya? Kata mereka lagi, NAFAS sudah 22 tahun berpengalaman dalam bidang ini dan mempunyai kemudahan mereka sendiri. Jadi, jika syarikat lain, mungkin akan menghadapi masalah kerana terpaksa membeli dari pihak lain.

Soalan orang ramai berkenaan ahli politik PH yang menginap di hotel di Tanjung Piai ketika PRK, dikatakan tidak benar kerana bilik-bilik itu disediakan bagi pegawai-pegawai NAFAS yang kebetulannya ada tugasan di sana. Macam sama jawapannya bila ditanya rakyat, kenapa ada projek segera di PRK? “Kebetulan” katanya. Setelah menafikannya, salah seorang ALP NAFAS pula menuduh bahawa KSU lah yang membocorkan maklumat ini untuk diberikan kepada MCA.

Ketika Puan Nur Salwani Muhammad mengaku bahawa beliau telah merakam secara rahsia mesyuarat audit bagi kes 1MDB, Salwani dianggap sebagai penyelamat, kerana mungkin minit mesyuarat itu tidak dapat diperolehi lagi kalau dihapuskan. Kes Najib itu bagi PH sudah betul-betul Najib bersalah, walaupun belum habis bicara. Manakala apabila mereka menuduh ada KSU yang membocorkan maklumat NAFAS kepada MCA, KSU itu pula menjadi celaka. Kenapa berbeza hukuman? Sepatutnya KSU itu, jika benar menyalurkan maklumat kepada lawan, mereka patut dipuji kerana menyelamatkan duit rakyat, terutama bagi penginapan hotel itu.

Tuduhan tanpa bukti ini, adalah lazim bagi PH. Pada kebiasaannya, tuduhan itu hanya kepada musuh politik mereka sahaja. Tetapi kali ini, pegawai kerajaan pula yang mereka babitkan. Kata mereka lagi, KSU membuka tender 1.4B itu tanpa pengetahuan menteri. Sampai begitu sekali alasannya, bodoh sangatkah menteri? Mereka bagaikan bebas menyebut apa sahaja kerana mungkin mereka fikir, malaikat tidak berani mencatat tuduhan palsu mereka itu. Namun rakyat cerdik apabila mereka menjawab dengan gelabahnya. Rakyat boleh melihat ayat-ayat yang mereka susun untuk menjawab. Benar atau tidak.

Setelah puas menafikan isu ini termasuk timbalan menteri, tiba-tiba Salehuddin mengeluarkan kenyataan bahawa memang beliau meminta kontrak itu diberikan kepada NAFAS. Diamlah ALP NAFAS dan semua yang menjadi perisai PH dalam isu ini. Bayangkan jika sekiranya menteri terus diam, maka akan bertambah parahlah alasan-alasan yang mereka berikan kepada rakyat, bagi mereka mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka sendiri timbulkan.

Oleh itu, jelas bagi rakyat yang waras, bagaimana Pan mengistinbat hukum bagi mereka berfatwa yang mereka tidak bersalah. Sekejap BMF, sekejap rasis, sekejap tak arahkan, sekejap arahkan, sekejap penyelamat, sekejap pengkhianat. Entah dari mana kaedah mengambil hukum ini mereka belajar. Macam ‘superman’ mereka pantas bertukar baju. Sehari berapa kali bertukar. Bagi yang sudah mengenali Pan, ini adalah satu ciri-ciri mereka. Tengok isu fitnah RM90 juta tu dah cukup untuk kita semua bersetuju yang Pan ini memang pembelit. Cuba kalau PAS bagi jawapan seperti ini.

Yang saya takut ada dua. Satu, mereka melabelkan ‘bekas’ pimpinan PAS terbabit dalam isu ini, kerana macamana pun, PAS mesti ditarik masuk ke dalam panggung mereka, sebab bila disebutnya PAS, mereka harap akan ramailah penontonnya. Kedua ialah mungkin mereka akan mengatakan semua isu ini berlaku kerana mereka belajar dari Umno, sebab ada lima orang Umno dalam ALP mereka, dan merekalah yang ajar kemahiran itu kepada ALP PH. Punggah, kata orang utara. Manalah tahukan? Sebab semua salah PAS dan Umno.

Saya akhiri dengan tagline PH semasa memfitnah PAS dengan isu 1MDB RM90 juta dulu, kalau tak betul, sila saman Wee Ka Siong dan pecatlah KSU yang bocorkan rahsia itu.

Mohd Nasir Abdullah
23 November 2019