Besar Sungguh Jiwa Anwar

1157

Sekonyong-konyongnya, semalam, timbul di permukaan internet, sebuah berita, iaitu ungkapan kata-kata dari bakal Perdana Menteri ke-8, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan kesanggupan dirinya untuk bertemu dengan Presiden PAS, bagi membicarakan hasrat atau apa-apa yang semaksud dengannya iaitu rancangan susunan politik baharu bagi membentuk kerajaan baharu Malaysia.

Arrhh, lihat, betapa besarnya jiwa beliau yang melihat jauh ke hadapan, bagi masa depan negara, anak cucu kita. Sanggup beliau membuang perasaan ‘permusuhan’ yang sekian lama membisul yang menunggu nanahnya pecah dalam jiwanya, tetapi demi untuk membina negara Malaysia yang lebih baik ia dilupakan. Tiadalah ungkapan yang selayaknya bagi beliau, kecuali, inilah jiwa besar seorang bakal Perdana Menteri.

Mata rakyat pastinya sekarang ini, melirik tajam ke arah Presiden PAS yang jika memilih untuk menghindar pelawaan itu, sudah tentu akan dilihat sebagai manifestasi kesombongan, menolak tuah. Sudahlah kalah di peringkat nasional, negeri pun hanyalah dapat dua buah. Maka keangkuhan apakah yang ditebarkan oleh Presiden PAS buat tatapan rakyat yang sudah bosan dengan wayang politik ini?

Sayugialah Presiden PAS sedar bahawa DS Anwar, pastinya akan membawa hasil perbincangan itu ke dalam mesyuarat parti beliau, iaitu Parti Keadilan Rakyat, komponen terbesar dalam kerajaan sekarang. Renungkan, apa yang beliau boleh lakukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia melalui persepakatan ini.

Presiden-presiden parti PH, pastinya akan akur dengan cadangan dan saranan dari PKR, pemegang saham terbesar kerajaan itu. Betapalah ruginya Presiden PAS kerana jika tidak berjiwa besar, menolak pelawaan ini. Tun Mahathir, akan memastikan segalanya berjalan dengan baik, atas arahan DS Anwar. Kita semua maklum akan keadaan Tun kini yang mengharapkan ehsan dari DS Anwar sahaja untuk kekal sebagai PM.

Presiden PAS haruslah melupakan tuduhan DS Anwar menggunakan sehelai kertas hitam yang terlebih karbon bahawa Presiden PAS membayar Sarawak Report bagi penyelesaian luar saman disuatu waktu dahulu. Itu adalah tuduhan kecil. Bak kata orang tua, itu ialah gurauan dari seorang rakan lama. Tidaklah berjiwa besar Presiden PAS jika masih mengingatinya, sedangkan agenda membina negara lebih utama.

Kecil jiwa Presiden PAS apabila menolak cadangan DS Anwar mengadakan Langkah Kajang beberapa tahun dahulu. Ianya adalah langkah awal strategi PR ke Putrajaya. Apalah yang hendak berkira sangat jika wang dihabiskan bagi PRK itu. Rakyat Malaysia, terutama Melayu, hanya mempunyai tempoh marah selama tiga minggu sahaja untuk apa-apa isu. Jadi, kenalah korban sedikit bagi hasil yang banyak.

Berkaitan isu menjadikan isteri DS Anwar sebagai MB Selangor dahulu, ia adalah satu cubaan mulia mengangkat martabat wanita di Malaysia. Malaysia kan tidak pernah ada MB wanita. Walaupun tuanku meminta tiga nama dan mereka memberikan satu nama sahaja, ia tidak bermakna mereka menderhakai sultan. Sebaliknya PAS lah yang mengada-ngada mengikut kehendak istana. Bukankah senang kalau PR sama-sama menghantar satu nama? Barulah istana menggelabah.

Tidaklah juga bagus bagi Presiden PAS apabila mengungkit-ungkit pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor selepas Langkah Kajang dengan fitnah 90 muka surat itu. Bukankah ianya sudah diselesaikan di mahkamah dan pimpinan PKR didapati bersalah memfitnah? Apa lagi yang mahu diimbau kembali? Yang sudah tu, sudahlah. Jiwa kita sebagai pemimpin negara ini, mestilah besar. Lagipun, TSKI ahli PKR, bukan PAS, sebab apa Tok Guru pulak yang sibuk.

Manakala isu rasuah RM90 juta oleh Umno kepada PAS itu, hanyalah salah faham. Tidak perlulah berbalah lagi bagi mengenangkan kekhilafan itu. Itu hanyalah tuduhan biasa. Tidak masuk mahkamah pun, apa yang dirisaukan. Kita boleh selesaikan sesama kita sebagai saudara seagama. Tidak kah mahu mengikut cara rasulullah iaitu kita saling memaafkan? Apa pun, PAS menang juga dua negeri walau difitnah.

Tentang niat DS Anwar untuk merampas Terengganu dan Kelantan sebaik DS Anwar keluar dari penjara, itu adalah hal yang biasa. Ianya datang dari semangat jihad dari dalam diri DS yang begitu bersemangat dan gembira yang amat akibat baru sahaja keluar dari penjara. Tiada niat yang jahat, kecuali kerana mahu memberikan kebaikan kepada kedua negeri ini sahaja. Janganlah diambil hati wahai Presiden PAS.

Komen-komen positif DS Anwar berkenaan Islam liberal dan yang seangkatan dengannya itu, hanyalah tipu helah politik sahaja. Presiden PAS perlu sedar bahawa perang itu tipu daya. Maka helah DS Anwar itu adalah bagi mengurangkan tentangan daripada golongan tersebut. Apabila DS Anwar mendapat jawatan PM ke-8 nanti, tahulah nasib mereka yang mempermain-mainkan Islam itu. Tak percaya? Tengoklah.

Adapun janji-janji manifesto yang secara keseluruhan dahulu, DS Anwar sebagai tulang belakang utama mendrafkannya itu banyak tidak tertunai, adalah kerana ketidak sengajaan. Disebabkan BN juga bermain tipu, maka apa salahnya tipu dilawan dengan tipu kan? Tidaklah adil bagi mereka sahaja berjanji bulan bintang tetapi PH, hanya melopong, mulut ternganga. Rakyat diyakini faham akan keterdesakan PH itu.

Banyak lagi hal yang boleh dibincangkan di sini atas pengorbanan jiwa dari DS Anwar. Tetapi cukuplah sekadar itu bagi membuktikan beliau berjiwa besar. Presiden PAS perlu mencontohi beliau yang segera menerangkan jika ada penipuan, pembelitan yang dilakukan beliau sebelum ini. Itu tandanya berjiwa besar, setelah membelit rakyat, alihkan isu yang lain supaya ianya dilupakan.

Dan wajib dipahat dalam minda Presiden PAS bahawa pengorbanan paling besar dari jiwa DS Anwar yang paling mulia ialah memaafkan Tun, menjadikan beliau PM semula, memaksa seorang Ahli Parlimen meletak jawatan untuk dia bertanding, bersabar dengan sikap Tun yang buat bodoh, berkelahi, bertumbuk sesama ahli sendiri dalam parti kerana Tun, sanggup menunggu jawatan PM ke-8 dengan menggelarkan dirinya sendiri sebagai Bakal PM ke-8.

Walaupun tidak pernah diiktiraf oleh Tun dari dahulu sehingga sekarang, dan terkini pula orangnya berkempen menyuruh Tun turun. Apa lagi yang layak kita gelar kalau bukan berjiwa besar? Jika ini berterusan dan kemudiannya ada pakatan kerajaan baharu yang tidak mengajak DS Anwar dan DAP bersama, yang kita takut ialah DS Anwar tidak lagi berjiwa besar, tapi bertukar menjadi pesakit jiwa di hospital besar.

Cara yang terbaik ialah, puji diri sendiri sebagai berjiwa besar dengan satu dua tindakan yang nampak baik dan mengajak rakyat menuding jari ke arah lawan yang kemudiannya dijadikan kambing hitam sebagai tidak berjiwa besar, jahat, pendendam dan lain-lain bagi rakyat melupakan ribuan penipuan yang dia lakukan dulu. Inilah politik yang dinamakan sebagai Demokrasi Terpimpin.

Anwar, Anwar……hati kau keras Anwar…

Mohd Nasir Abdullah
24 Januari 2020