Oleh : Azizah Mahmood
KUALA TERENGGANU – Muslimat disaran untuk bersama membina ekonomi melalui pertanian dan bersikap lebih terbuka untuk mempelajari ilmu pertanian.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata ini memandangkan pertanian berdaya memberi pulangan hasil untuk menjana pendapatan keluarga.
Ketua Muslimat Marang itu juga, berkata demikian ketika merasmikan Program Jom Makan Durian bersama Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar(LATAS), Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu bertempat di Mizi Agro Farm, Kampung Jerung Surau, di sini pada 8 Ogos.
Program santai yang bermula seawal sembilan pagi itu telah dihadiri seramai 140 orang muslimat yang mewakili lapan kawasan di negeri Terengganu.
Beliau turut berharap muslimat mengambil peluang menambah ilmu dengan mengadakan lawatan sambil belajar ke agensi-agensi pertanian seperti mengunjungi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang dan lain-lain lagi.
“Untuk mendalami seterusnya menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan,” ujarnya lagi.