Bersatu Reka Isu Tutup Kelemahan PH

488

Oleh ; KAM

KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Terengganu, kononnya masih wujud amalan ‘Amanat Haji Hadi’ di Terengganu itu cerita ‘rekaan’ yang sudah tidak relevan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, isu amanat itu langsung tidak relevan lagi kerana sudah tidak berlaku di negeri ini.

Katanya, pemimpin parti Bersatu itu seolah-olah sedang ‘berkhayal’ berada di zaman tahun 80-an dan bukan diera tahun 2019 ini.

Menurut beliau, pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu perlu kemukakan dengan bukti jika dakwaan itu masih wujud di Terengganu.

“Dia (Zulkifli) hidup zaman bila ini? Isu itu langsung tidak relevan sekarang ini. Itu sekadar hendak tutup masalah PH (Pakatan Harapan) yang sedang dihadapinya sekarang ini.

“Perkara itu langsung tidak berlaku lagi dan sengaja diada-adakan cerita sahaja. Jika benar berlaku, buktikan di masjid mana, surau mana, tempat mana? Buktikan dan jangan cakap kosong sahaja,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau memberi respon itu terhadap dakwaan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Terengganu, Dato’ Zulkifli Mohamad kononnya, masih wujud amalan ‘Amanat Haji Hadi’ dan solat dua iman kerana perebutan kuasa tertentu.

Sebaliknya, kata Ustaz Wan Sukairi, pemimpin parti Bersatu itulah yang cuba memecah-belahkan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat di negeri ini.

“Sebenarnya, dia (Zulkifli) yang cuba pecah-belahkan masyarakat MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung). Ini fakta dan buktinya, semasa program anjuran KETENGAH untuk pembahagian bendera Malaysia.

“Dia tidak panggil Pengerusi MPKK tetapi memanggil wakil ahli MPKK yang dilantik oleh kerajaan Pusat, sedangkan Pengerusi MPKK yang dilantik kerajaan negeri ada tetapi tidak dipanggil.

“Sebenarnya, dia (Bersatu) cuba memecah-belahkan masyarakat sekarang ini, bukan PAS. PAS sudah berbaik dan hendak bertaawun dengan Umno,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan NGO negeri berkata, kerajaan baharu PAS Terengganu semakin diterima rakyat dan hidup aman sejahtera.

Menurutnya, masalah dan kelemahan yang banyak dalam kerajaan PH hari ini mendorong pemimpin pakatan itu ‘merekacipta’ isu yang sudah tidak relevan lagi.

Dato’ Zulkifli Mohamad juga merupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang baharu dilantik ketika era kerajaan PH ini.