Berkorban Demi Islam Memimpin Perpaduan

94
YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang, Pesuruhjaya PAS Negei Terengganu merangkap Ahli Dewan Negara

Hari Raya Aidiladha disambut oleh seluruh umat Islam dan tema berkorban sering kali dikaitankan dengan kisah para Nabi terutama Nabi Adam as, Nabi Ibrahim as dan disambung pula oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw. Berkorban dari sudut bahasa ialah ‘dekat’ dari istilah pula perbuatan mendekatkan diri kepada Allah swt.

2. Ibrah dari kisah anak Nabi Adam as, Habil dan Qabil (Al-maidah ayat 27-31) dapat membawa kita ke awalnya sebuah ibadah korban. Ketika kedua anak Nabi Adam mempersembahkan korban, lalu Allah menerima korban Habil manakala korban Qabil pula tidak diterima kerana apa? إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ Sesungguhnya Allah hanya menerima korban orang-orang yang bertaqwa.

3. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as dan keluarganya demi Islam merupakan contoh yang perlu diambil perhatian bagi orang Islam yang bertaqwa. Diperintahkan berhijrah dari Babylon ke Palestin, diperintahkan pula berpisah dengan anak isteri ditempat yang kering kontang tidak berpenghuni, diperintahkan pula untuk menyembelih anaknya sendiri, lalu diperintahkan pula untuk membangunkan Baitullah bersama anaknya Ismail as. Hanya dengan meletakkan perintah Allah di hadapan, setiap perintah yang zahirnya tidak dapat diterima akal akhirnya menampakkan kebijaksanaan & kekuasaan Allah. Di sinilah hikmah pengorbanan, tatkala dihujani godaan syaitan ingatlah, إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ sesungguhnya Allah hanya menerima korban orang-orang yang bertaqwa.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” [al-ahzab: 21]

4. 14 abad yang lalu, bumi Mekah diterangi cahaya suci sebagai tanda lahirnya insan agung bernama Muhammad SAW. Ketika itu juga, terpadamlah api sembahan Majusi & runtuh tiang istana kemegahan Kisra di Parsi. Hari ini pula umat Islam dapat menyambut Hari Raya Aidiladha disamping mengerjakan Ibadah Korban & juga Ibadah Haji. Semua ini tidak akan dirasai melainkan dengan adanya pengorbanan dari para Nabi, para sahabat, para pemuda-pemudi & ulamak-umarak yang tidak jemu menyebarkan Islam sehingga cahaya Islam pernah menerangi 2/3 dunia.

5. Tidak akan hilang dalam lipatan sejarah, bagaimana sebuah kerajaan Islam yang naik dari pengorbanan demi pengorbanan runtuh sebagaimana runtuhnya perpaduan sesama orang Islam. Dasar PAS ialah Islam. Fasal ke 5 dalam perlembagaan PAS ada menyebut, tujuan PAS ialah (1) memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. (2) Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

6. Di mana kamu wahai pemuda bertaqwa seperti Habil & Nabi Ismail as yang sanggup berkorban nyawa demi menunaikan seruan Allah? Dimana kamu wahai muslimat, pemudi & isteri-isteri bertaqwa seperti Siti Hajar atau Siti Khatijah yang sanggup berkorban anak, harta malah tulang belulang agar dijadikan jambatan untuk menyebarkan Islam? Di mana kamu wahai ulama-umara bertaqwa yang menjadi pewaris Para Nabi & pemimpin umat Islam sebagaimana yang didoakan oleh Nabi Ibrahim dan dijanjikan Allah dalam al-Quran?

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim. [al-baqarah: 124]

7. Usahlah dibiarkan Aidiladha berlalu pergi tanpa kita mengambil pengajaran dari Ibadah Korban mahupun Ibadah Haji. Islam berkembang dengan pengorbanan dan seharusnya kita terutama Ahli PAS lebih sedar perjuangan menegakkan dasar Islam bukan kerja perseorangan. Hidupkan jamaah di cawangan-cawangan dan turunlah sebagai naqib atau naqibah agar risalah Islam tersebar luas. Kukuhkan tali silaturrahim diantara ahli dengan usrah agar kebajikan ummah lebih terjaga. Demi menyahut seruan ALLAHU AKBAR dan berbekalkan taqwa, dengan Izin Allah Islam akan diangkat kembali.

8. Semoga Hari Raya Aidiladha pada tahun ini akan membuka satu lembaran baru untuk Islam memimpin perpaduan di tanah air kita. Demi Islam kita berkorban dan ingatlah إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ sesungguhnya Allah hanya menerima korban orang-orang yang bertaqwa.

YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang
Pesuruhjaya PAS Negei Terengganu
Ahli Dewan Negara
6 Ogos 2019
07 Zulhijjah 1440H