Berkebajikan; Gotong Royong Jaga Kebersihan

236

Oleh : Rohayati Ripin 

KUALA TERENGGANU – PAS meneruskan agenda negara berkebajikan dengan mengadakan program gotong royong menjaga kebersihan.

Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kuala Terengganu, YB Hajah Zuraida Md Noor berkata, ia diadakan bagi menyahut seruan slogan ‘ Kuala Terengganu Bersih, Jangan Kotori’.

Menurutnya, ia merupakan siri yang pertama diadakan di kawasan terbabit serta akan menjadi program berkala.

“Hari ini kita turun untuk menyatakan kebersamaan kita dalam menyahut seruan kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu negeri yang bersih. 

“Kita yang berada di sekitar kawasan Kuala Terengganu juga terpanggil untuk menjaga persekitaran Kuala Terengganu terutamanya di Pantai Batu Buruk yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Dan insya Allah kita akan sasarkan  tempat yang menjadi tumpuan ramai  contohnya dekat Drawbridge, Taman Syah Bandar  dan Lagoon Kuala Ibai di  kawasan kuala Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Wanita Terengganu berkata demikian ketika di hubungi pada hari ini, Ahad, 4 Ogos.

Oleh itu, kata beliau, aktiviti tersebut akan dijadikan satu agenda program khas ADUN Wanita di seluruh negeri dengan mensasarkan tempat kawasan pesisir pantai.

Beliau berharap agar orang ramai turun padang bersama-sama untuk menjayakannya pada bila-bila masa dan di mana jua berada.

“Tahniah kepada semua yang turun padang menzahirkan rasa bertanggungjawab untuk memastikan Negeri Terengganu terus menjadi negeri terbersih selaras dengan hadis Nabi Muhammad,” tegasnya.

Program tersebut bermula pada jam 7.30 pagi di sertai oleh beberapa Badan NGO dan Pelajar Pasti Kawasan Kuala Terengganu seperti  KT Care ,Skuad Khidmat, PERMATA, Unit Amal Dan Ameerah. 

“Alhamdulillah seramai 87 orang sukarelawan terlibat dalam melaksanakan kerja amal ini,” tambah beliau lagi.