Berita Ringkas Sidang DUN Terengganu

308

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Sidang DUN) bermala semalam dan akan berlangsung selama tiga hari sehingga 12 Ogos.

Kerajaan negeri menjelaskan penswastaan parkir berbayar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merupakan langkah terbaik bagi mengatasi kerugian pihak berkuasa tempatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak berkata, MBKT berdepan kerugian selama beberapa tahun disebabkan sistem manual yang digunakan banyak mengalami kerosakan.

“Sejak tahun 2016, MBKT mengalami kerugian bersih melibatkan parkir sahaja berjumlah RM170 ribu, RM484 ribu bagi tahun 2017, RM850 ribu (2018) dan sebanyak RM918 ribu pada 2019.

“Memang betul, sebelum ini MBKT memperoleh hasil sekitar tiga ke empat juta setahun berbanding RM1.3 juta yang diterima dari pihak pengurusan swasta. Tetapi, kos operasi berterusan kita tinggi sehingga menyebabkan defisit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.

Sementara itu, Pusat pemulihan dadah secara holistik yang menggunakan pendekatan lebih komprehensif dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan di Kem Chador, Marang dengan pengambilan 100 pelatih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan berkaitan pemilihan pelatih.

Katanya, mereka yang dipilih termasuk yang tinggal di kawasan pendalaman dan benar-benar mahu berubah kepada kehidupan lebih baik.

“Pusat pemulihan dadah itu berada dalam peringkat penyelesaian isu tanah dan pemilikan bangunan sedia ada antara Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu dan Sri Miah Sdn Bhd melibatkan kos RM1.5 juta. Permohonan tapak sebagai cadangan adalah tapak Program Latihan Khidmat Negara PLKN Kem Chador, Marang, Terengganu sebelum ini yang berkeluasan kira-kira 40 ekar.

“Dalam konteks pemilihan pelatih, kita tidak akan memaksa mereka untuk berubah sebaliknya menggunakan pendekatan kerohanian dan mendalami ilmu agama, mengaji al-Quran, pentingnya solat apabila pelatih ke pusat itu kelak,”katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun mendesak supaya kerajaan menyegerakan pembinaan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) seperti yang dijanjikan sebelum ini kerana sudah tertangguh sekian lama.

Menurut beliau, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2016 telah dimaklumkan bahawa projek PRIMA akan dibina di Rantau Abang.

“Malangnya sehingga ke hari ini belum menjadi kenyataan dan kemungkinan ia masih dalam perancangan.

“Diharapkan pihak kerajaan dan agensi berkaitan menyegerakan pembinaannya kerana ia terlalu lama tertangguh sedangkan tapaknya sudah ada,” ujarnya.