Berita Perlu Kreatif, Menarik

450

Oleh : Khairan Mat Jusoh dan Aziz Hambali

HULU TERENGGANU –  Setiap pegawai media mestilah kreatif dan menjadikan berita yang mereka tulis mempunyai daya penarik, sehingga orang ramai ada keinginan untuk membacanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan dan Hubungan Media PAS Negeri Terengganu, Haji Sazali Mohd Noor berkata mereka seharusnya menjadi seorang pemerhati yang baik.

“Carilah benda lain dari yang lain supaya dapat menarik minat orang ramai untuk membaca berita yang kita tulis, ” ujarnya.

Sazali berkata demikian dalam satu perjumpaan khas dengan pegawai media di Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, di sini pada 18 Disember. 

Oleh itu, beliau yang juga Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI berkata, temubual dengan responden boleh dibuat dengan pelbagai kaedah.

“Bahan pemberitaan tidak semestinya ucapan dalam bentuk formal, ianya boleh dilakukan dalam pelbagai cara,  cumanya bergantung kepada kita, mahu atau tidak,” terangnya lagi.

Justeru, beliau berharap pegawai media saling bekerjasama dan bantu membantu di dalam melaksanakan amanah yang dipikul.

“Setiap diantara kita mempunyai kelebihan yang tersendiri, jika sahabat kita perlukan pertolongan, bentukkan sebuah kumpulan kecil bagi meringankan kerja diantara satu sama lain, ” ujar beliau.

Di samping itu, tambah beliau, hubungan baik  perlu juga dijaga di dalam menghasilkan berita  yang menjadi sumber penerangan kepada orang ramai.