Bekas Presiden Sudan, al-Bashir Terima Berjuta Dolar Dari Arab Saudi

155

Seorang penyiasat memberitahu mahkamah, bekas Presiden Sudan Omar al-Bashir telah mengakui menerima berjuta-juta dolar dari Arab Saudi.

Detektif polis memberitahu di hadapan hakim pada permulaan perbicaraan rasuah hari Isnin pemerintah Sudan itu menerima wang tunai $90 juta daripada negara arab itu.

Brigadier Polis Ahmed Ali berkata al-Bashir memberitahunya bahawa pembayaran wang tersebut “disampaikan oleh beberapa utusan Mohammed bin Salman”.

Penyiasat polis itu menambah, hampir tujuh juta Euro ($ 7.8 juta) ditemui di kediaman al-Bashir, serta jumlah yang lebih kecil dalam matawang dolar AS dan pound Sudan.

“Tertuduh memberitahu kami bahawa wang itu adalah sebahagian dari jumlah $ 25 juta yang dikirim kepadanya oleh Putera Mohammed bin Salman untuk digunakan di luar bajet negara,” kata Ali.

Penyiasat itu berkata lagi, al-Bashir mengaku, beliau juga menerima dua pembayaran sebelumnya sebanyak $ 35 juta dan $ 30 juta dari Raja Abdullah Saudi, yang meninggal dunia pada tahun 2015.

Al-Bashir, yang memerintah Sudan selama 30 tahun, menghadapi tuduhan yang berkaitan dengan “memiliki mata wang asing, rasuah dan menerima hadiah secara haram”.

Pemimpin itu terdiam mendengar kesaksian itu tanpa komen, duduk di dalam sangkar logam ‘orang tertuduh’ dengan memakai jubah putih tradisional dan serban di penampilan pertamanya di ruang sidang Khartoum.

Dia bercakap untuk mengesahkan namanya dan umurnya, apabila ditanya mengenai kediamannya, al-Bashir yang berusia 75 tahun itu ketawa dan berkata, “dahulunya daerah lapangan terbang, di ibu pejabat tentera tetapi sekarang penjara Kobar,” merujuk kepada kompleks penahanan di mana dia menghantar beribu-ribu lawan semasa pemerintahannya.