Bapa Kanak-kanak Mangsa Letupan Serah Diri

466

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/mangsa%20mercun.jpg(Klip Video Sejurus Selepas Kejadian) KUALA TERENGGANU – Bapa kepada kanak-kanak yang terkorban akibat kejadian letupan di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor simpanan mercun dan bunga api di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga di sini semalam, menyerah diri kepada polis Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Samsuddin berkata Ayub Abd Rahman, 28, menyerah diri di tempat kejadian kira-kira pukul 12.55 tengahari.

“Dia menyerah diri atas nasihat polis dan juga Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung,” katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini selepas melawat dua lelaki yang parah akibat kejadian itu.

(Gambar dari Video klip menunjukkan lelaki berbaju belang (dalam bulatan merah) sedang menghulurkan tangan kepada seseorang dari atas pokok untuk menyambut mangsa)

Zamri berkata bagaimanapun, polis memberi peluang kepada lelaki tersebut untuk menguruskan pengkebumian jenazah anaknya yang masih belum dituntut di hospital itu.

Sejam setengah sebelum itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan membuat sidang media khas bagi memaklumkan tentang usaha polis untuk mengesan bapa Khairul Arif Ayob, 6, yang maut dalam kejadian semalam.

Katanya, ia bagi membantu siasatan polis selain urusan menuntut jenazah anaknya di HSNZ di sini.

“Sebaik kejadian itu berlaku semalam, suspek dan isterinya Kamariah Sufian, 25, telah menghilangkan diri. Polis telah pergi ke rumahnya, namun gagal menemuinya,” kata beliau.

Mohd Shukri berkata bapa kanak-kanak itu sebelum ini pernah ditahan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 pada tahun lepas atas kesalahan penjualan mercun.

Mengulas mengenai kejadian semalam, Mohd Shukri berkata siasatan awal mendapati ledakan kuat sehingga merosakkan beberapa rumah di kawasan itu berpunca daripada letupan himpunan mercun yang banyak.

Malah katanya, selepas kejadian itu polis menemui 15 kotak lagi mercun pelbagai jenis di bahagian lain di rumah berkenaan.

“Daripada jumlah itu hanya dua jenis mercun yang dibenarkan iaitu jenis ‘happy boom’ dan jenis ‘pop-pop’,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah tinggal di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga kira-kira 12.30 tengahari semalam, kanak-kanak malang itu dilapor tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Kejadian turut mengakibatkan dua lelaki yang dikenal pasti sebagai Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, cedera parah. Kedua-dua mereka kini dirawat di HNSZ.- Bernama

http://www.youtube.com/watch?v=zVKN9CDwnbA