Bantah ICERD: Presiden PAS Arah Seluruh Umat Islam Turun Ke Dataran Merdeka

597

KEMAMAN – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam mesti bersatu hadir untuk menyatakan protes secara aman di Himpunan Perdana Rakyat Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Katanya, penganjuran program 8 Disember ini kerana beliau bimbang Parlimen akan meluluskan ICERD.

Namun kata beliau, PAS tidak berhasrat untuk membuat huru hara, tetapi mahu mengajak semua pihak menyatakan protes melalui demonstrasi secara aman tanpa mengabaikan demokrasi.

“Kita bukan nak buat huru hara, kita hanya nak menunjukkan satu protes sikap, secara aman dan damai, kita tetap memilih demokrasi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Islam Memimpin Kemenangan’ di Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman di sini semalam, 2 Disember.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan seluruh Kepimpinan Tertinggi PAS Terengganu hadir di ijtimak tersebut.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, demokrasi bukan sahaja mesti berlaku di Parlimen tetapi demokrasi juga mesti mengizinkan rakyat mengadakan demonstrasi secara aman.

Dengan sebab itu katanya, umat Islam perlu bersatu, dalam masa yang sama Islam tidak menafikan kedudukan orang bukan Islam dalam sesebuah negara Islam.

“Kita perlu mengajak orang bukan Islam supaya mereka menyedari perlunya menjaga keharmonian masyarakat majmuk.

“Kita perlu mengumpulkan semua untuk membina kekuatan baharu ke arah Islam memerintah negara ini,” jelas beliau.

Sebelum ini beliau memberi ucapan tegas pada sidang parlimen supaya ratifikasi ICERD itu tidak diluluskan dengan mengambil kira majoriti Ahli Dewan adalah bukan Islam.

Menurutnya, nisbah wakil bukan Islam. rakyat Pakatan Harapan (PH) lebih ramai berbanding Islam dengan jumlah 66 orang berbanding hanya 58.

“Maka saya mengambil tindakan yang nekad di Parlimen (Dewan Rakyat) menyampaikan satu ucapan yang tegas bahawa kamu PH jangan menyalahguna Parlimen ini untuk meluluskan ICERD,

“kalau kamu salahgunakan Parlimen ini, PAS mampu mengerahkan berjuta rakyat (untuk turun ke jalan raya dan berhimpun),” tegas beliau.