Banjir ; Periksa Maklumat Yang Kita Terima

159

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah hari ini mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan maklumat yang diterima, terutama berkenaan banjir di negeri Terengganu.

Pesan beliau ketika dihubungi, orang ramai hendaklah memastikan informasi yang diperolehi adalah benar dan bersumberkan daripada punca yang sahih seperti dari pihak berkuasa.

“Sering kita dapati apabila tiba musim seperti banjir begini, akan ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat-maklumat yang salah kepada orang ramai.

Ini boleh mencetuskan kebimbangan kepada rakyat, tanpa menghiraukan perasaan terutama kepada mereka yang mempunyai saudara mara yang tinggal di kawasan yang terlibat dengan bencana,” kata beliau.

Lebih memburukkan keadaan apabila kawasan tersebut terputus hubungan dengan dunia luar, pastinya akan menambah kebimbangan dengan berita-berita palsu yang disebarkan.

Hal ini sangat menyedihkan kerana penyebar maklumat palsu itu seolah-olah tidak peka dengan perasaan mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat.

Oleh itu beliau menyeru kepada seluruh rakyat, agar lebih bersikap berhati-hati dengan maklumat-maklumat yang mereka perolehi kerana jika tidak diperiksa, maka ia akan menjadi tular yang akan menambahkan lagi masalah.

“Jika kita menerima maklumat, tanya kepada penghantar itu, dari mana dia dapat? Adakah dari pihak berkuasa? Jangan kita sewenang-wenangnya menyebarkannya tanpa disahkan ketulenan maklumat,” jelas beliau mengingatkan.

Selain itu juga, Ustaz Mohd Nor mahu semua pihak memastikan keselamatan, patuh kepada arahan pihak berkuasa, menyimpan dokumen, nombor penting serta makanan sebagai langkah berjaga-jaga di musim banjir ini.