“Baju Ada Dah, Tapi Dok Leh Gi Sekolah”

2643

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – “Baju ada dah, tapi dok leh gi sekolah,” petah kata Fara Imelda Saffiya Fairuddin, pelajar malang yang gagal bersekolah kerana tiada surat beranak.

Beliau ditemui bersama keluarga di Kampung Gelugor, Kertih, di sini, pagi sangat kecewa apabila tidak dapat bersama kawan-kawan ke Tahun 1.

“Rindu kawan-kawan semasa bersekolah tadika dahulu, seronok kalau dapat bersama pergi sekolah.

“Baju, kain, kasut dan stokin semua dah ada, kakak pun sudah bersekolah,” kata beliau.

Fara Imelda adalah anak kedua kepada pasangan suami-isteri Fairuddin Jaafar, 39, dan Noraziawati Omar, 42.

Menurut Noraziawati, kakak kepada Fara Imelda bernama Fabazla Syahindah Fairuddin , 9, manakala anak ketiga mereka bernama Fayyad Hijazi Fairuddin, 3 tahun.

“Dua anak ada surat beranak, cuma Fara Imelda sahaja yang tercicir, saya masih ingat beliau lahir di Hospital Kemaman pada 21 Januari 2012,” kata Noraziawati.

Ketika ditanya, beliau berkata suaminya tidak bekerja, punca pendapatan mereka sekeluarga hanya dengan membantu ibunya menjual kuih.

“Itulah sudah hampir sebulan tidak dapat membantu ibu, sebenarnya baharu keluar hospital kerana jangkitan kuman di kaki, ” kata beliau lagi

Sementara itu, Pengerusi MPKK Kg Tengah Kertih, Ad Asmera Abu Bakar yang turut serta dalam pertemuan memberitahu beliau menangani masalah keluarga ini setelah mendapat maklumat dari rakan-rakan.

“Kita telah membawa keluarga ini ke Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Kertih, kelmarin dan cuba membantu mereka melengkapkan borang permohonan surat beranak sebelum membantu urusan persekolahan anak ini,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Bahagian Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Kemaman ketika dihubungi menasihatkan keluarga tersebut hadir ke pejabat mereka di Cukai untuk urusan kemasukkan ke sekolah.