Bajet Terengganu: Iltizam Tinggi Julang Agama Dan Peluang Ekonomi

167

Alhamdulillah, sesi Pembentangan Bajet 2020 bagi negeri Terengganu oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, baru sahaja selesai Ahad lalu. Daripada bajet yang berjumlah RM1.83 bilion itu memberikan gambaran kepada kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menjulang beberapa perkara utama iaitu agama dan membela rakyat.

Pembangunan Sosial diperuntukkan sebanyak RM618.49 juta (88 peratus) daripada keseluruhan RM700 juta Perbelanjaan Pembangunan. Saya melihat pemilihan bagi ‘Memartabatkan Perlaksanaan Islam’ yang diletakkan sebagai Teras 1, membuktikan Kerajaan Negeri tetap berada di landasan mereka sebagai sebuah kerajaan yang ditunjangi oleh Parti Islam Semalaysia (PAS). Keutamaan ini sangat bertepatan dengan dasar PAS yang meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai dasar utama parti.

Tidak dinafikan, Kerajaan Negeri sedikit perlahan pada setahun setengah yang lalu, bagi menggerakkan jentera-jentera dakwahnya. Dengan rakyat yang berbagai cara pemikiran, melihat sedikit kelambatan ini dari berbagai perspektif yang berbeza. Paling ketara ialah isu-isu seperti percampuran jantina, persembahan terbuka dan sebagainya, yang dijalankan dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Rakyat mendesak untuk melihat perubahan.

Perkara ini, tidak hanya dikritik oleh rakyat, malah agamawan-agamawan juga memberikan beberapa pendapat yang mereka tidak bersetuju. Sudah tentu perkara ini agak gawat apabila ia memasuki media sosial sebagai perantara kritikan-kritikan terbuka itu. Ia agak kabur sebenarnya kerana definisi melaksanakan syariah itu, tidak sama pemahamannya, sekaligus menimbulkan kekeliruan. Namun, Kerajaan Negeri segera bertindak mengawal ketidakpuasan hati rakyat dengan mengadakan dialog terbuka bersama rakyat. Suara rakyat didengar dan diraikan.

Dan sekarang, Kerajaan Negeri memberikan tumpuan kepada perlaksanaan syariah dengan lebih serius dan terusun dengan memperuntukan hampir RM88 juta iaitu kira-kira 14 peratus daripada RM618 juta peruntukan Pembangunan Sosial itu, bagi merancakkan lagi program-program yang baharu, disamping program yang sedia ada, untuk memartabatkan perlaksanaan Islam di Terengganu. Anda sebagai rakyat, berhak diberikan pujian atas kecaknaan dan kritikan anda dalam hal berkaitan Islam. Dan kerajaan memberi respon yang sangat positif.

Antara program-program bagi menyemarakkan perlaksanaan Islam ialah program mencintai al-Quran, aktiviti dakwah yang menyeluruh termasuk di pulau-pulau peranginan, pembinaan masjid baru, pengimarahan masjid-masjid dan juga membangunkan institusi-institusi bagi tujuan pendidikan Islam. Sungguh bertuah bumi Darul Iman ini, dikurniakan rakyat yang begitu perihatin dengan agamanya dan kerajaan yang membuka telinga, mendengar kehendak rakyat yang berpatutan.

Seperti yang kita sedia maklum, Terengganu ialah sebuah negeri Islam tertua di Malaysia dan paling akhir dijajah. Dengan gelaran ‘Darul Iman’ itu, menjelaskan betapa rakyatnya memahami kehendak agama. Apabila rakyat bersuara, suara mereka majoritinya berkaitan dengan agama. Dengan sebab itu, peruntukan kepada hal ehwal agama, akan pasti menjadi perhatian rakyatnya yang cintakan agama, khususnya ahli PAS.

Mengenai peraturan hiburan di tempat awam pula, Kerajaan Negeri telah memberikan jaminan untuk mereka mengemaskan semula dan dijangka pada awal tahun nanti, masalah keributan ini akan selesai dengan segera. Apa pun, orang ramai jangan terlalu cepat dalam menghukum. Contohnya penangguhan aktiviti busking, mereka, setahu saya tidak ada persatuan. Maka sangat elok ditubuhkan persatuan bagi berbincang mewakili golongan karyawan ini dan bukannya melalui media sosial.

Dalam galakan kerajaan bagi membantu rakyat Terengganu menambah pendapatan, beberapa tambahan kepada peluang itu telah disediakan. Paling ketara melalui pertanian yang jika dilihat, sangat dekat dengan majoriti rakyat Terengganu. Ianya agak mudah dan berkesan bagi aktiviti jangka pendek dan keadaan tempat yang terhad. Apatah lagi bagi yang mempunyai kekuatan untuk mengurus pertanian berskala ladang juga, peluang mereka terbuka luas.

Peruntukan bajet sebanyak RM34 juta bagi sektor pertanian dan keusahawanan adalah manifestasi kepada iltizam kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan rakyat dalam bantuan one-off. Ianya tetap ada, tetapi kerajaan lebih melihat peluang kepada rakyat untuk lebih berdaya saing, seharusnya diwujudkan dalam ruang keusahawanan, dengan lebih besar lagi. Berbanding dengan bantuan one-off yang jika terlalu besar, ia menyempitkan ruang untuk rakyat berusaha.

Maka pancing disediakan dengan lebih banyak agar sebahagian rakyat akan dapat keluar mencabar diri di gelanggang perniagaan. Amatlah munasabah apabila sikap kita berubah daripada suka menunggu, kepada keluar mencari, maka kita akan lebih terkehadapan dalam mencipta peluang yang lebih baik. Inilah yang kerajaan mahu terapkan sebagai jati diri rakyat Terengganu.

Atas nama Muafakat Nasional, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada semua 10 Adun BN bagi melaksanakan rancangan-rancangan bagi kepentingan rakyat di kawasan masing-masing. Hal yang sama pernah dilakukan oleh Presiden PAS ketika menjawat jawatan MB pada bajet 2000, 20 tahun dahulu. Kerajaan Negeri ketika itu meluluskan RM100 ribu bagi empat kawasan yang dimenangi BN. Namun atas faktor royalti ditarik balik, maka ianya tidak lagi diteruskan selepas itu.

Beberapa lagi perkara penting dan besar yang perlu rakyat maklumi ialah ‘differred payment’ dan ‘scheduled payment’ yang perlu dibayar kerajaan sekarang atas beberapa projek besar yang telah dilaksanakan sebelum Mei 2018. Dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM400 juta ditambah dengan kewajipan Negeri membayar hutang Pusat juga RM400, melalui potongan wang royalti, ia adalah antara sebab utama Bajet 2020 agak menyesakkan Kerajaan Negeri.

Sesi Pembentangan Bajet kali ini akan berakhir dengan kelulusan Bajet 2020 yang sarat dengan keazaman Kerajaan Negeri memberikan yang terbaik kepada rakyat. Namun, ada pihak di luar sana yang sinis kerana bajet ini defisit (belanja melebihi pendapatan) sebanyak 10 peratus. Tetapi kita berani mengatakan bahawa, jika hutang Pusat kepada Negeri berjumlah RM1.431 bilion dilunaskan, maka insyaAllah bajet ini menjadi surplus (pendapatan melebihi belanja).

Bagi makluman semua rakyat Terengganu, walaupun Kerajaan Negeri berdisiplin membayar hutang kepada Pusat, namun, tiada satupun projek bertaraf mega yang diperuntukkan kepada Terengganu dalam Bajet 2020 Kerajaan Pusat. Mujurlah Tun, sehingga kini tidak mengikut hasutan mulut-mulut yang jahat yang menjelir lidah kelaparan, mengemis kuasa mengurus wang royalti Terengganu. Bayangkan kalau ianya terjadi. Kita tunggu untuk beberapa tahun lagi, setelah semua hutang-hutang selesai, Bajet Terengganu akan berubah wajah insyaAllah.

Mohd Nasir Abdullah
26 November 2019