Bajet Pertanian 2019 Diuruskan Berdasarkan Pelan Strategik

183

Terima kasih dan tahniah kepada YAB Menteri Bessar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, atas pembentangan bajet dan perhatian yang diberikan kepada sektor pertanian.

Peruntukan kepada sektor pertanian dalam Bajet 2019 akan diuruskan berdasarkan Pelan Strategik Halatuju Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 dengan peruntukan bajet bagi tahun pertama 2019 sebanyak RM15 juta.

Untuk makluman Dewan, Pelan Strategik ini suatu pelan bertindak yang dirangka dalam satu bengkel yang mengabungkan:

1. Anggota Kerajaan Negeri sebagai pembuat dasar
2. Lebih 30 Jabatan dan Agensi di bawah Portfolio Pertanian dan Industri Asas Tani
3. Tenaga cendikiawan dan akademik dengan yang membawa inovasi serta idea-idea baru
4. Pengiat bidang pertanian dan asas tani samada mewakili individu atau persatuan
5. Veteran-veteran bidang pertanian yang kaya dengan pengalaman serta asam garam pertanian.

Dengan makna ini satu pelan strategik dari kita untuk kita.

Visi dan misi untuk:

1. Menjamin keselamatan makanan ‘food security’ bagi negeri kita
2. Memajukan ekonomi berasaskan pertanian, penternakan, perikanan dan asas tani
3. Menjadikan bidang pertanian adalah suatu perniagaan

Sasaran penglibatan golongan sasar dalam industri pertanian Terengganu yang terdiri dari:

1. Rakyat awam terutama golongan belia
2. Persatuan atau koperasi
3. Syarikat serta pelabur
4. GLC (anak syarikat kerajaan) Negeri
5. Jabatan dan agensi kerajaan sebagai pemudah cara

Fokus untuk tahun pertama

1. Pemulihan dan memanfaatkan sebaiknya semua kemudahan dan infrastruktur pertanian dan asas tani yang telah sedia ada.
2. Penyenaraian dan kemaskini semula semua status tanah-tanah kerajaan yang dirizabkan dan diwartakan bawah Seksyen 62 bagi tujuan pertanian, perikanan dan penternakan.
3. Mencari peluang baru dengan memanfaatkan tanah-tanah kosong yang ada di negeri kita
4. Memperkayakan sumber perikanan dan penternakan

Ciri-Ciri Pelan Strategik:

1. Kemas dan lengkap mewakili semua sektor dan kelompok sasaran. Jangan ada pemain dalam industri ini yang tercicir dari perhatian. Syarikat besar kita raikan dalam masa yang sama seorang petani kecil yang berjiwa besar juga kita tak lupakan.
2. Praktikal dan realistis dengan cabaran serta realiti semasa kita di negeri Terengganu.
3. Kita mahu satu pelan yang boleh dijadikan sebagai satu rujukan akademik tapi dalam masa yang sama boleh difahami oleh seorang petani awam di kampung-kampung tentang apa yang kerajaan sedang buat untuk mereka.
4. Satu pelan yang lengkap dari sebelum suatu projek pertanian diusahakan, sehingga ia diusahakan, dituai hasil, pemasaran dan persijilan kualiti.

Sekarang masa rakyat nak menikmati buah. Masa untuk nak mempamerkan keindahan bunga-bungaan kepada rakyat telah berlalu. 

Kejayaan ‘Road To MAHA’ yang diadakan buat julung kali pada 25-27 November 2018 dengan lebih 50k kehadiran dan RM725k jualan dalam masa tiga hari memberikan satu isyarat bahawa sektor pertanian masih kukuh mendapat tempat di hati rakyat. 

YB Manir menyentuh isu harga komoditi getah dan sawit. Kita tetap dengan pendirian bahawa harga lantai getah skrap adalah perlu dengan kadar yang munasabah. RM2.20 adalah terlalu rendah. Penoreh dan pekebun kecil getah hanya mampu beli beras timbang sekilo dengan harga ini. Tuntutan masyarakat penoreh untuk mendapatkan harga lantai RM4 adalah bertepatan dengan keperluan minima kos kehidupan sekarang. Hasrat pekebun kecil dan penoreh ini akan terus kita bincang dan suarakan kepada Kerajaan Pusat. 

YB Manir dan Batu Rakit membangkitkan isu bekalan sayur di Negeri Terengganu. Jabatan Pertanian sehingga kini telah membangunkan kawasan seluas 303 ha di bawah Projek Peningkatan Hasil Sayur-Sayuran yang melibatkan 400 orang bilangan petani. Kerajaan menyediakan sedikit peruntukan untuk membangunkan kawasan, kerja-kerja pembersihan kawasan, penyedian infrastruktur ladang serta perolehan bahan input dan jentera dengan kadar maksimun RM6,000/ha.

YB Manir juga menyentuh soal kawal selia sesuatu projek pertanian. Memang benar! Bukan setakat kawal selia malah perancangan yang baik, perlaksanaan yang tepat, kawal selia, menuai hasil sehingga ke peringkat pemasaran adalah antara kunci penting perlaksanaan sesuatu projek.

Antara kejayaan yang telah dibuat:

1. Hab Pengembangan dan Pemprosesan Cendawan di Kg Tempinis Besut. Inilah hab seumpama yang pertama di Malaysia
2. Makmal Kualiti Madu di UMT, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan UMT. Makmal Kualiti Madu yang pertama di Pantai Timur
3. Pusat Pemprosesan Susu Kambing berteknologi moden di Kompleks Pengembangan Veterinar Marang.

Untuk makluman, YB Kuala Besut, berat sebuah tukun dasar lembut yang dilabuhkan di perairan Kuala Besut kira-kira 8.5 tan dengan kos RM13k bagi sebongkah tukun, diletakkan di lokasi jarak 4 – 5 batu nautika dari pantai. Dengan tukun saiz dan seberat ini, tukun konkrit boleh memainkan 2 peranan serentak bagi mengumpulkan ikan dan menghalang pencerobohan pukat tunda. Di Jepun tukun konkrit digunakan sebagai sekatan penghalang kepada kemasukan kapal selam.

YB Air Putih dan Pengkalan Berangan menyarankan supaya kerajaan memanfaatkan 12 ribu hektar tanah terbiar bagi untuk golongan belia menceburi bidang pertanian. 

Saya perlu memberikan pencerahan tentang makna tanah terbiar yang dimaksudkan. Tanah terbiar bermakna tanah hak milih perseorangan atau syarikat yang terbiar tidak dimajukan dalam tempoh 3 tahun. Bukannya tanah kerajaan. Jabatan Pertanian telah mengambil beberapa inisiatif bagi memajukan tanah terbiar ini. 

Kita jumpa tiga keadaan di lapangan.

1. Tuan tanah tak ditemui
2. Tuan tanah ditemui tapi tak bersedia memajukan tanah
3. Tuan tanah bersedia memajukan tanah.

Tanah kerajaan yang kosong boleh dimanfaatkan utk tujuan pertanian dengan 3 cara.

1. Dijadikan tanah RTB
2. TKPM bawah Sek 62 Kanun Tanah Negara
3. Lesen Menduduki Sementara (LMS) untuk tanaman kontang
4. Pajakan

Untuk menjayakan Program Agroprenur muda, Program jelajah Exco Pertanian turun ke dun-dun dalam Program Taklimat Belia Tani. Antara Dun yang terlibat ialah Bukit Payong, Batu Buruk, Batu Rakit, Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Kuala Berang, Kemasik, Sura, Rantau Abang dan Jabi. Beribu anak muda telah terlibat dalam program ini.

Anak muda juga boleh memanfaatkan peruntukan Skim Bantuan Dana Tani yang baru diumumkan oleh MB dalam Bajet 2019.

Kegagalan projek-projek pertanian antara yang turut disentuh oleh YB Air Putih.

Saya sentiasa optimis dan berfikiran positif untuk guna istilah ‘projek yang tidak mencapai objektif dari segi perlaksanaannya’ berbanding istilah projek gagal.

Kegagalan Projek Lembah Kaprima

Lembah Kaprima Ulu Seladang, Mengabang Bakong, Segading, Telaga Papan yang berjaya. 

Lembah Kaprima Durian Mentangau, Tanjung Gaduh, Kg Chaban dan Payang Kayu gagal.

Semakan undang-undang telah selesai. Kerajaan Negeri mencadangkan dibuat penamatan berdasarkan pelanggaran syarat yang dibuat pengusaha. Notis pelanggaran perjanjian telah dihantar kepada 3 pengusaha. Hujung Januari dijangka proses penamatan selesai.

Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)

Besut (62), Serating (297.7), Rhu Tapai(637.7), Paloh Jenang(202), Peradong(4). Jumlah keseluruhan 1,203.4 ha. 1,022.97 ha sahaja kawasan boleh bertanam. 180 ha adalah paya @ tanah berendam. Daripada 1,022.97 ha, yang bertanam 456.60 ha dan yg tak bertanam 566.38 ha.

Rizab Padang ragut.

Jumlah rizab 93
Luas semua 4,837 ha
Luas dimajukan 2,004 ha
Disewa/pajak 783 ha
Baki 2,832 ha

Antara senarai lain projek-projek yang perlu dipulihkan.

-Projek Kelapa Matag Kubang Puyu, Langkap
-Projek Rimbunan Kasih Rantau Abang
-Ternakan Ikan Sg Comor
-Skim Pengairan Kg Jelapang Langkap

YB Jerteh menyentuh mengenai FMD. Tahun 2017, tujuh kes. 2018, tiga kes.

Ubat pelali dibekalkan percuma oleh DVS Putrajaya. Dari Jan 2017 – Oktober 2018 sebanyak 27,573 ternakan berisiko telah diberikan pelalian. JPV Terengganu mewajibkan suntikan vaksin HFD sebanyak 2 dos kepada ternakan yang ingin dibawa masuk ke Terengganu.

Setakat ini vaksin yang dibekalkan oleh DVS Putrajaya berkesan utk menghalang kemasukan FMD dari Thailand. Sekiranya berlaku insiden FMD di kampung-kampung, ia biasanya berpunca dari kemasukan ternakan luar yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh JPV. Antaranya kemasukan yang tidak mendapat permit pemindahan yang sepatutnya. JPV akan membuat pemantauan dan kawalan pergerakan ternakan antara daerah dan antara negeri bagi mengesan tanda-tanda klinikal FMD sebelum dibenarkan bergerak keluar dari mukim. 

YB Pengkalan Berangan menyentuh isu perumahan nelayan di Merchang. Penempatan Semula Nelayan bagi tahun hadapan 2019 kita fokus untuk teruskan dan bina apa yang telah ada dalam perancangan. Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Benting Lintang, Seberang Penarik dan Pulau Skepeng. Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan LKIM. Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Dungun destinasi selanjutnya. 

YB Permaisuri menyentuh berkaitan penternakan ikan di Laguna Setiu.

Penternakan ikan air payau di Laguna Setiu telah bermula sejak tahun 80 an lagi. Sekarang terdapat seramai 59 orang pengusaha dengan 1,252 petak sangkar. Spesis utama yang diternak ialah siakap dan kerapu hibrid. 

Bagi menjamin kelestarian projek ternakan ikan air payau di Laguna Setiu, Kerajaan mencadangkan supaya semua pengusaha dilesenkan dengan lesen Sistem Kultur Laut (SKL) dan dipersijilkan di bawah program biosekuriti perikanan dengan Sijil Malaysia Good Aquaculture Practice (myGAP) bagi tujuan eksport sekiranya ada pasaran eksport pada masa akan datang. Hal ini bagi memastikan aktiviti akuakultur dapat dijalankan secara sistematik tanpa memberi kesan buruk kepada perairan semulajadi selaras dengan Rancangan Kawasan Khas Tanah Bencah Setiu atau Setiu Wetland dengan izin. 

Satu Program Perundingan Komuniti Tanah Bencah Setiu bersama Exco Pertanian telah diadakan pada 12 Ogos 2018 untuk membincangkan isu-isu berkaitan perancangan masa depan Setiu Wetland yang melibatkan wakil-wakil Kg Fikri, Kg Gong Batu, Kg Mangkuk, Kg Saujana, Kg Penarik, Kg Pengkalan Gelap, Kg Beris Tok Ku bersama Pejabat Daerah Setiu, JKR, MDS, Petronas, JPS dan Plan Malaysia Negeri Terengganu. 

Insentif kepada nelayan, petani ekoran kejatuhan harga sawit, getah turut disentuh YB Permaisuri. Saya dah minta pegawai untuk rujuk dengan LKIM dan LGM. Setakat ini memang tak ada sebarang hitam putih bahawa bantuan nelayan dan penoreh getah akan dihentikan. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri akan bincang dengan Kerajaan Pusat untuk meneruskan apa jua insentif yang diberikan kepada nelayan dan petani. Alhamdulillah, hubungan negeri dan pusat dalam sektor pertanian sangat baik. Kita percaya bukan semua perkara perlu selesai dengan konfrantasi. Ada banyak perkara yang boleh selesai dengan senyuman. Kepada Allah kita berserah segala urusan.

Kecaknaan kita terhadap nasib petani, penoreh dan nelayan telah lama berlaku sejak kita belum jadi kerajaan lagi walaupun bukan atas nama insentif musim tengkujuh. Mereka semua rakyat kita. Tentunya atas kapasiti sebagai kerajaan sekarang, pelbagai bantuan kebajikan dapat kita tingkatkan lagi kepada rakyat disaat menghadapi hari-hari sukar seperti musim tengkujuh melalui Adun dan Pegawai Penyelaras Dun kepada rakyat yang memerlukan. 

***Sidang Dewab Undangan Negeri Terengganu. Ucapan Penggulungan Exco Pertanian Negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim