‘Baby Boomers’ Bukan Alasan Abai Teknologi

106

Oleh: Syazwana M.Zohir/Foto: JITM DMPNT

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) menyeru kepada golongan wanita agar memanfaatkan sebaiknya kewujudan sistem teknologi komunikasi yang canggih untuk mendaulatkan agama Islam.

Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, proses globalisasi telah mendorong pembangunan teknologi komunikasi dengan pesat.

“Hal itu bukan sahaja membawa perubahan kepada sesebuah organisasi malahan kepada masyarakat dunia kerana penggunaannya telah diterima pakai oleh semua pihak.

“Perkembangan teknologi juga telah memberi pelbagai kesan terhadap sesebuah organisasi, ianya bukan sekadar untuk memudahkan interaksi antara sesama ahli organisasi malahan sebagai perantaraan dalam menyampaikan maklumat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Bengkel Pendedahan Teknologi bagi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) DMPNT di TD1303, semalam.

Menurutnya, teknologi juga membantu melancarkan lagi tugasan dalam sesebuah organisasi apatah lagi dalam konteks dakwah.

“Hal-hal yang saya sebutkan ini tidak lain untuk memastikan objektif berjaya dicapai dan mampu memberi daya saing kepada pihak lain,” kata Zarani.

Beliau menambah, walaupun saff kepimpinan muslimat menerajui dan kini tergolong dalam kumpulan ‘baby boomers’, itu bukanlah suatu alasan untuk berlepas diri dari memanfaatkan teknologi demi memastikan kelancaran perjuangan Islam.

Penganjuran bengkel ini merupakan satu inisiatif daripada Jabatan Teknologi dan Maklumat (JITM) DMPNT bagi memberi pendedahan kepada muslimat mengenai asas pengunaan teknologi maklumat.

Sehubungan itu, Ketua JITM DMPNT, Daing Siti Norbaity Abd Latif juga turut mengingatkan bahawa tanggungjawab berkaitan bidang teknologi dan multimedia, tidak boleh sepenuhnya diletakkan pada bahu muslimat muda semata-mata sebaliknya hal tersebut memerlukan kolaborasi bersama.

“Tanpa disedari, pasca Covid-19 ini menyebabkan semua golongan dan peringkat umur perlu mengetahui aplikasi teknologi yang disediakan.

“Banyak manfaat jika kita celik teknologi, semua benda boleh belajar tinggal lagi mahu atau tidak. Muda bukan syarat untuk celik IT, kita belajar semua ini kerana nak sebarkan Islam,” tambah beliau.