Aziz Bari Sahut Cabaran Ustaz A. Bakar Chik

1103
Almarhum Ustaz Dato' Abu Bakar Chik

Video yang tersebar baru-baru ini yang melibatkan seseorang yang mirip Dr. Aziz Bari dan beberapa orang lain yang dipercayai sebagai Adun Umno di Perak, menggemparkan dunia politik Malaysia. Kandungan yang jelas didengari ialah keinginan tinggi bagi menurunkan YAB MB Perak, Faizal Azumu dari kerusinya. Beberapa dialog yang khusus memperkecilkan Faizal, disuarakan dengan begitu yakin dan berani.

Aziz Bari dahulu ialah seorang profesor dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Kalau tak salah saya, Tarmizi Mohd Jam bekas wartawan Harakah yang selalu menaikkan namanya sebagai ‘Pakar Perlembagaan’ sebagai menunjukkan bahawa Aziz Bari ini, akan dirujuk sebagai seorang yang amat pandai dalam bidang undang-undang. Tidak dinafikan beliau seorang yang pandai, apatah lagi mendapat gelaran professor, pastinya memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk dianugerahkan.

Namun, gelaran ‘pakar’ itu terkadang hanya mahu mengaburi pandangan kita kepada orang lain yang tidak kurang juga pakarnya. Sehingga banyak kali juga apabila kita melihat pandangan berbeza dari cerdik pandai yang lain, kita memperlekehkannya kerana pandangan ‘pakar’ tadi lebih kita yakini. Begitulah cara penulisan yang kadang-kadang boleh membawa kepada arah yang tidak betul, mengikut kompas yang diberikan si penulis. Sama seperti jualan, yang popular, itulah yang laku, tapi belum tentu sedap dan berkualiti.

Ketika namanya dijulang sebagai ‘pakar’ itu, PAS pernah menjemput beliau dan seorang lagi cendikiawan Prof. Madya Dr Abu Hassan Hasbullah bagi memberikan kritikan kepada organisasi pada 7 November 2009, 10 tahun yang lalu. Maka datanglah beliau berdua, membentangkan kertas kerja mereka. Aziz mengkritik terutamanya Presiden, dengan kritikan yang keras, di hadapan ahli-ahli PAS di Taman Melewar. Ramai yang marah dengan ucapan terutama dari Aziz Bari itu, tetapi masih dapat menahan emosi.

Aziz Bari, sehari sebelum itu, telah melabelkan Presiden PAS sebagai Pak Lah versi PAS, yang mengundang ketidakpuasan ahli PAS. Bagaikan disengajakan, panggilan itu diberi sehari sebelum seminar politik tersebut. Beliau juga membuat beberapa gesaan yang dilihat terlalu mendalam hal berkenaan PAS. Bila ditanya kepada beliau, dari manakah sumber maklumat yang agak dalam itu diperolehi, beliau tidak memaklumkannya. Tetapi saya rasa saya dapat mengagak dari mana sumbernya.

Walaupun pada mulanya, difahamkan peserta tidak mahu membalas kritikan pedas itu, namun, almarhum Ustaz Abu Bakar Chik (ABC) bangun mempertahankan Presiden PAS daripada Aziz yang dikira melampau itu. Ianya bukan disebabkan tidak boleh menerima kritikan, tetapi apabila ia mencapai di luar batas, maka Ustaz ABC pun berpidato menyanggah Aziz Bari yang dilihat sudah keterlaluan. Beliau akhirnya mencabar Aziz Bari supaya turun ke gelanggang daripada duduk dalam bilik dan mengkritik.

Ustaz ABC memang terkenal dengan kelantangan beliau melawan musuh PAS. Tetapi beliau bukan hanya bercakap berdegar-degar berteori tanpa dilakukan ujikaji. Beliau mempunyai pasukannya sendiri. Beliau secara praktikal turun ke gelanggang menjadi pembangkang, menjadi kerajaan, pendakwah, guru, mempunyai sekolah sendiri, menjadi Ketua Pemuda PAS dan AJK PAS Pusat, menjadi tahanan ISA, sering diikut oleh SB. Sehinggakan dimaklumkan SB yang memasukkannya ke ISA ialah ahli usrahnya sendiri.

Dalam satu pembentangan kertas kerja dakwah yang pernah saya sertai, di sebuah surau PAS di Repoh, Perlis sekitar tahun 2005, beliau pernah menceritakan bahawa sebelum ditahan dibawah tahanan ISA, beliau sering dikritik kerana ketajaman beliau melawan musuh politik oleh ramai rakan-rakan beliau dari gerakan Islam di luar negara. Akhirnya beliau ditangkap. Dan setelah dibebaskan, beliau mencari semula rakan-rakan yang mengkritik beliau itu. Berkatalah rakan-rakan beliau itu, ‘hanya orang Mekah yang tahu jalan-jalan di Mekah’. Merujuk kepada selok belok politik Malaysia hanya difahami politikus Malaysia.

Begitulah pejuang sejati. Turun ke medan dan berhempas pulas berpencak mempertahankan Islam bersama khalayak yang cerdik, bodoh, kurang faham, perlu bimbingan, terlebih pandai, kuat mengkritik, diam berkerja, melawan ketua, pemalas, pro aktif dan banyak lagi kelakuan manusia yang memanaskan hati atau menggembirakan jiwa. Maka kritikan Aziz Bari, tinggal kritikan kerana ia tidak berpijak di bumi.

Sekarang, Aziz Bari turun sendiri ke medan politik. Berbekalkan gelaran ‘pakar’ perlembagaan itu, beliau memilih menyertai DAP. Beliau menang dan menjadi Exco Kerajaan Perak. Tetapi biarpun berpangkat Dr, beliau tidak dinaikkan menjadi MB. Maka sedarlah beliau bahawa sekarang bukan lagi zaman beliau mengarah seperti arahkan pelajar beliau menyiapkan tugasan, lambat hantar, potong markah, markah dibawa ke peperiksaan akhir, kuiz, ‘open book test’ dan sebagainya.

Tetapi zamannya sekarang ialah, walau dengan seorang MB yang tidak mempunyai ijazah sekalipun, beliau tidak boleh berbuat apa-apa, jika tidak mempunyai pasukan yang kuat. Maka Umno yang dahulunya beliau jijik mendengarkannya, malah memperlekehkan Presiden PAS kerananya, sekarang terpaksa beliau datang mengadap bagi membuat suatu pakatan untuk menjatuhkan si Peja itu. Dan, sekali lagi diulang, walaupun datang dengan gelaran pakar, beliau tidak dijulang atau disegani. Malunya Aziz, dengan Peja pun boleh kalah.

Lebih mencucuk ulu hatinya, Umno membuka aibnya dengan menyebarkan video tawaran beliau itu. Dan sebelum itu, dalam Sidang Dun Perak juga, Ketua Pembangkang Perak dari Umno, telahpun memberikan pembayang yang ada Exco Perak yang mahu Umno membantunya menurunkan Peja. Maka barulah Aziz sedar yang beliau berada dalam gelanggang yang penuh dengan putar belit. Tidak cukup dengan itu, Anwar yang dipujinya dahulu, juga tidak diendahkan nasihatnya supaya bersabar sehingga habis penggal.

Aziz sekarang tersepit, mahu menjadi MB, terpaksa melutut dengan Umno yang dia remehkan dahulu, sedangkan dalam Umno itu, tiada satu pun ‘pakar’ perlembagaan. Beliau sanggup untuk menjadi MB bagi DAP, memperkecilkan Nizar dan Asmuni dari Pan sebagai bukan pejuaang tetapi ‘anak raja’. Lucu juga bila melihatkan beliau terpaksa mengangkat bakul memuji diri sendiri yang beliau lebih baik dari keduanya. Di belakang Peja, ada Tun. Adakah Tun tidak tahu kelemahan Peja? Tun tahu, tetapi beliau ada rancangan yang Aziz terpaksa hadapi.

Beliau juga terpaksa menghadapi karenah kakitangan kerajaan yang bukan semuanya menyokong PH, apatah lagi sekarang ini, PH semakin dibenci. Lihat ketika Pakatan Rakyat menguasai kerajaan dahulu, mereka semua tidak mendapat kerjasama yang sepatutnya dari pegawai-pegawai kerajaan. Apabila kerajaan bertukar tangan, kita boleh lihat bagaimana SUK Perak ketika itu turun menghalau Nizar dan barisan Exconya keluar dengan suara yang keras dan nyaring.

Mungkin Aziz kini sedar, terjun melihat sendiri keadaan politik, yang dahulunya sangat mudah diteorikan beliau dengan berbagai cara. Saya kira tindakan beliau ini adalah menyahut cabaran Ustaz ABC dan saya harap Aziz akan membiasakan diri dalam ombak yang sangat kuat menghempas kini. Ombak kebencian rakyat yang mengganas terutama kepada kapal PH, bila-bila masa boleh menenggelamkan mereka. Aziz boleh berfikir untuk pergi ke mana-mana kapal, hatta kapal Umno pun. Dibimbangi beliau akan ditulis dalam sejarah sebagai profesor yang kalah dengan budak SPM. Begitulah politik wahai Dr Aziz.

Sekarang, Presiden PAS yang beliau perlekehkan dahulu, bergerak maju memandu ummah, dengan lebih kejayaan. Judi dan sebahagian riba dapat dihapuskan dalam negeri yang PAS kuasai. Bagaimanapun, Aziz Bari jauh lebih cerdik, sekurang-kurangnya akan mendapat pencen Exco walaupun setakat ini tidak nampak mempertahankan Islam. Aziz juga lebih baik dan berani daripada orang lain yang sering menyalak dari luar, mengkritik itu dan ini, dalil itu salah, dalil ini dhaif, itu bidaah, tanpa merasai sendiri bagaimanakah praktikal cara berpolitik.

Sehinggakan negeri yang konon dianggap sunnah itu masih megah berdiri premis judi berlesennya. Harap ada dalil sahih kehalalan judi itu. Apa agamawan dia buat? Bertahun makan gaji, duduk dalam bilik? Kalau MB tak dengar nasihat, masih degil? Tunggu apa lagi? Di sinilah pentingnya kuasa. Rasulullah menggalakkan kita mengembala kambing kerana mahu memberikan pengajaran bagaimana mengawal manusia. Bukan kerana baginda mahu kita makan banyak daging kambing.

Mohd Nasir Abdullah
19 November 2019