Aurat Wanita : Pilihan Menjaga Pesona Wanita Untuk Dilindungi

703

Oleh : Ustazah Salamiah Mohd Nor

“Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungannya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.” [ Surah Fatir : 18 ]

1. Syariat telah menetapkan bertudung bukanlah kewajipan ke atas wanita. Namun setiap wanita wajib ke atas mereka untuk memelihara tubuh badannya (aurat), sebagaimana dalam firman Allah SWT yang bermaksud,

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [ Al-Ahzab : 59 ]

Sesungguhnya begitu lembut dan manisnya cara Allah SWT kepada kita kaum wanita agar memelihara aurat kita masing-masing. Tidak sesekali Allah SWT menggunakan kata-kata arahan yang bersifat keras dan menghukum. Bertudung juga memberikan gambaran wanita tersebut beriman dengan perintah Allah. Banyak kebaikan yang boleh dinikmati oleh wanita bertudung, bukan hanya sebagai tanda taat kepada Allah.

2. Dewan Muslimat PAS Malaysia merasa bertanggungjawab atas sebarang kemusykilan dan salah faham yang berlaku perihal ‘bertudung’, seringkali menjadi bahan perbualan yang hangat sama ada dalam kalangan artis, pemimpin politik, aktivis NGO dan lain-lain.

3. Kami menyedari hakikat ini kian runcing dan boleh menjadi parah sekiranya tidak dibendung sebaiknya.

4. Kenyataan dangkal yang dikeluarkan tanpa asas ilmu dan pegangan aqidah yang kukuh sebenarnya boleh meracuni pemikiran generasi baru yang sentiasa melihat dan mengikut trend semasa.

5. Justeru, di kesempatan ini, pihak kami sangat berharap agar sesiapa yang telah membuat kenyataan dalam nada sinis tentang isu bertudung mahupun menutup aurat ini agar memohon maaf secara terbuka serta membuka ruang untuk belajar daripada ahli agama seperti Mufti Wilayah Persekutuan atau para asatizah bagi memahami sebaiknya tentang syariat ini.

6. Kami juga bersedia untuk membuka ruang bagi mengadakan sesi dialog terbuka mahupun perjumpaan tertutup kepada mana-mana entiti yang menginginkan pencerahan dan kebenaran.

7. Akhirnya, Allah SWT tak akan pernah sesekali membebankan hamba-Nya dengan sesuatu syariat sekiranya ia mendatangkan mudarat, sebaliknya kepada wanita di luar sana, percaya dan yakinlah bahawa hikmah disuruh kita menutup aurat terlalu luas terutamanya dalam memelihara maruah kita sebagai wanita, agar sentiasa dihormati dan dipandang tinggi, serta tidak dijadikan bahan eksploitasi dengan sewenangnya.

8. Semoga Allah SWT melimpahkan hidayah kepada kita semua untuk mengelakkan salah faham tentang syariat ini.

*** Ustazah Salamiah Mohd Nor ialah Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia