ARC, Mat Motor Cintakan Ulama

355

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Kelab permotoran Alternative Riding Club (ARC), bukan hanya semata-mata mengadakan aktiviti bermotosikal, tetapi juga untuk melahirkan ‘mat motor’ yang cintakan ulama.

Timbalan Pengerusi ARC Kawasan Dungun, Mohd Nafizal Nafis berkata, aktiviti tersebut untuk mengajak masyarakat kearah kebaikan dan membawa syiar Islam.

“Kita bukan hanya sekadar menunggang motorsikal, kita menunggang demi Islam, menarik anak muda kepada PAS, juga merencanakan pelbagai aktiviti kebajikan.

“Sebagaimana program yang kita lakukan pada hari ini iaitu program rehlah sempena kemerdekaan untuk menyumbangkan khdimat kebajikan kepada masyarakat di DUN Bukit Besi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada program berkenaan, di Kampung Shukor di sini pada 3 Ogos.

Antara tentatif yang telah disusun dari awal menurutnya ialah, melibatkan aktiviti bergotong royong di Kampung Tepus.

” Bermalam di Pasir Raja dengan diadakan kuliah maghrib, barbeque dan juga kuliah subuh oleh Ustaz Haji Ghazali Sulaiman.

“Seterusnya pada hari kedua, telah bersama dengan penduduk Kampung Shukor bergotong royong menaikkan pintu gerbang di Kampung Shukor dan juga aktiviti membersihkan kawasan perkelahan Lubuk Kain,” jelasnya.

Program berakhir dengan mereka menjamu selera, makan tengah hari sempena jamuan rakyat yang disediakan secara gotong royong oleh orang kampung.

Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kerana kerjasama yang baik daripada Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Dungun dan komuniti setempat.

Terdahulu, Ghazali menyampaikan pesanan di dalam kuliah subuhnya agar ahli kelab berkenaan mengajak anak muda di luar sana supaya turut bersama menyertai mereka.

“Kerana melalui ARC akan terbinanya sahsiah diri yang baik dan menjadi anak soleh.

“Ahli ARC perlu mempunyai daya tarikan seumpama magnet agar anak muda yang sukakan motor bersama ARC agar terpandu ke arah yang baik, ke arah mat motor yang beriman dan bertakwa,” nasihatnya.